Bersama-sama dengan pengumuman teknologi Tecno OneLeap di acara Mobile World Congress 2026, Tecno juga telah memperlihatkan tablet terbaru mereka, Tecno MegaPad 2 dan dua lagi aksesori pintar baharu, iaitu jam pintar Tecno Watch GT 1S dan juga fon telinga TWS Tecno FreeHear 2.
Bermula dengan Tecno MegaPad 2, tidak banyak yang diketahui mengenai tablet ini secara rasmi buat masa ini. Ia merupakan sebuah tablet dengan paparan bersaiz 11.5 inci dengan resolusi 2.5K dan kadar segar semula 90Hz dan menggerakkan sistem operasi Android dalam rangka senipis 6.6mm. Spesifikasi komponen CPU, memori dan storan tidak diumumkan lagi setakat ini.

Ia juga merupakan produk pertama dengan integrasi teknologi ekosistem Tecno OneLeap yang juga baru diperkenalkan, dan merumahkan beberapa fungsi AI seperti AI Problem Solving untuk tujuan pembelajaran kanak-kanak. AI Translation pula, iaitu salah satu daripada fungsi OpenLeap membolehkan tablet ini untuk menterjemah sebanyak 140 bahasa dalam konteks audio dan juga teks secara langsung, membolehkan anda memahami intipati kandungan teks dan juga perbualan melalui video ataupun telesidang dengan cepat.
Produk seterusnya ialah Tecno Watch GT 1S, yang dikatakan ialah jam pintar mercu pertama Tecno. Ia menggabungkan penjejakan yang jitu, kemampuan pemantauan kesihatan dan ciri AI Watch Face. Dikuasakan oleh sistem GPS L1 + L5 dan sensor gerakan yang canggih, Tecno mengatakan ia mempunyai kemampuan penjejakan yang stabil merentasi persekitaran bandar dan terpencil.
Ia juga merumahkan kebolehan pemantauan kesihatan yang komprehensif, termasuklah kadar denyutan jantung, oksigen darah, tekanan dan tidur. Jam pintar ini juga mempunyai jangka hayat bateri sehingga 15 hari dengan satu pengecasan penuh dan rintangan air 5ATM memastikan penggunaan yang boleh dipercayai merentasi kerja, kecergasan dan aktiviti luar.
Fungsi AI Watch Face memudahkan pengguna untuk mencipta muka jam yang unik menggunakan gambar-gambar pengguna sendiri, yang memberikan sedikit keunikan kepada jam pintar ini.

Tecno FreeHear 2 pula ialah fon telinga terbaru keluaran mereka yang kini hadir dengan rekaan C-bridge yang sebelum ini diperkenalkan melalui Huawei FreeClip sebelum ini. Fon telinga ini merumahkan dua pemandu audio bersaiz 10.8mm dan hadir dengan berat 5.4g sahaja untuk satu bahagian fon telinga ini.
Kelebihan fon telinga yang ditawarkan oleh Tecno ini ialah ia juga sebahagian daripada ekosistem OneLeap, membolehkannya disambungkan ke tiga peranti Tecno sekaligus, bersama-sama dengan jangka hayat bateri 46 jam dengan satu pengecasan.
Tecno mengatakan bahawa tablet Tecno MegaPad 2, jam pintar Tecno Tecno Watch GT 1S dan fon telinga Tecno FreeHear 2 akan diperkenalkan di pasaran-pasaran terpilih sekitar suku pertama dan kedua tahun ini pada harga yang akan ditetapkan kelak.

