liza23/09/2026 - 15:47 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept – Teleperformance (TP) memperluaskan operasi di Malaysia menerusi pembukaan pejabat baharu di Menara IIB dekat Medini, Johor sekali gus menambah kehadirannya dalam ekosistem perkhidmatan perniagaan global (GBS) di negara ini.
Pejabat operasi baharu itu melengkapi kehadiran TP yang sedia ada di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan, TP memaklumkan pembukaan pejabat di Medini itu akan menyokong perkhidmatan pengalaman pelanggan, operasi digital serta perkhidmatan hasil bagi syarikat di Singapura dan pasaran Asia Tenggara yang lebih luas.
Lokasi di Menara IIB, Medini itu juga memberi TP kelebihan dari segi kedudukan yang berhampiran Singapura, kemudahan infrastruktur serta hubungan yang baik untuk menyokong operasi perniagaan serantau.
Medini terus berkembang sebagai hab perniagaan
Menara IIB terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang menawarkan kedudukan strategik bagi syarikat yang menjalankan operasi merentasi Johor dan Singapura.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Idzham Mohd Hashim berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran TP ke Medini dan menyifatkannya sebagai perkembangan yang menyokong kedudukan kawasan itu sebagai hab perniagaan menyeluruh.
Beliau berkata, keperluan syarikat bukan sekadar ruang pejabat, sebaliknya turut merangkumi akses kepada tenaga kerja, sokongan perniagaan, kemudahan kediaman untuk pekerja serta kemudahan komersial bagi menyokong keperluan harian.
“Gabungan elemen berkenaan penting bagi mewujudkan persekitaran yang membolehkan syarikat berkembang untuk jangka panjang,” katanya.
47 syarikat GBS sudah beroperasi di Medini
Idzham berkata inisiatif seperti GBS Iskandar@Medini terus membantu menggalakkan kerjasama antara syarikat, rakan industri dan pihak berkepentingan bagi mengukuhkan komuniti perniagaan tempatan.
“Sejak 2013, sebanyak 47 syarikat GBS telah membuka operasi di Medini dan mewujudkan kira-kira 7,200 peluang pekerjaan,” katanya.
Ekosistem perniagaan di Medini turut menempatkan beberapa syarikat yang telah bertapak, antaranya Startek Malaysia, Vistra, Deluxe Games Inc, Maybank Ageas Holdings Berhad (Etiqa) dan Katoen Natie Sdn Bhd.
Pertambahan syarikat di Medini turut menyumbang kepada perkembangan kumpulan tenaga kerja tempatan, mengukuhkan rangkaian perniagaan serta meningkatkan permintaan terhadap pembekal serantau di sepanjang koridor Johor–Singapura. - DagangNews.com






