amree11/08/2026 - 10:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – Saham Johor Plantations Group Berhad (JPG) berpotensi menerima penilaian semula dengan prospek keuntungan lebih kukuh dalam jangka panjang, menurut MBSB Research.
Unjuran positif berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, berdasarkan kira-kira 82% kawasan tanaman sawitnya berada dalam profil yang berusia produktif atau sedang menuju fasa pengeluaran optimum.
Justeru, ia memulakan liputan ke atas saham kumpulan perladangan ini dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM2.40, disokong aset berkualiti, dan pendedahan penuh kepada pasaran Malaysia.
"Harga minyak sawit mentah (MSM) direalisasi JPG yang secara konsisten masih mencatat kadar premium berbanding anggaran harga digariskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)," kata MBSB Research.
Ujarnya, profil usia ladang yang muda menjadi pemangkin penting pertumbuhan pengeluaran, dengan purata usia tanaman diunjurkan menurun daripada 13.5 tahun kepada sekitar 12 tahun menjelang FY28.
Setakat FY25 jelasnya, kira-kira 72% daripada kawasan tanaman terdiri daripada pokok matang utama berusia antara sembilan hingga 22 tahun, manakala masing-masing 12% adalah pokok yang belum matang.

Situasi itu tambah MBSB Research, menyediakan aliran berterusan tanaman yang akan memasuki tempoh pengeluaran puncak, dengan JPG merupakan antara syarikat memiliki profil usia tanaman paling muda.
"Perkembangan tersebut, sekali gus memberikan asas kukuh untuk kumpulan itu dapat meningkatkan pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan hasil MSM pada tahun-tahun yang akan datang," ujarnya lagi.
Prospek jangka sederhana hingga panjang pula turut disokong transformasinya menjadi pemain minyak sawit bersepadu yang merangkumi segmen huluan, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan lemak khusus.
Strategi JPG itu kata MBSB Research, digabungkan peningkatan teknologi, penanaman semula serta pengembangan aktiviti hiliran, dijangka meningkatkan produktiviti aset, dan mempelbagaikan hasil.
Ia menjangkakan pendapatan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 10.6% dari 2025 hingga 2028, manakala keuntungan dijangka stabil sekitar RM420.2 juta bagi FY26 hingga FY28.
"Penilaian tersebut disokong peningkatan pengeluaran apabila lebih banyak kawasan tanaman matang muda memasuki fasa pengeluaran utama serta harga MSM dalam lingkungan RM4,500 satu tan," tambahnya.
MBSB Research berkata, penjanaan tunai operasi dan kecairan sihat memberikan JPG fleksibiliti cukup membiayai pengembangannya serta menghadapi kemungkinan penyusutan harga MSM. - DagangNews.com






