
SINGAPURA - Tindakan seorang lelaki berusia 73 tahun menepuk kepala seorang kanak-kanak perempuan di sebuah medan selera di Singapura mencetuskan pertikaian apabila beliau kemudian ditolak sehingga terjatuh.
Kejadian berlaku pada Sabtu di medan selera Roxy Square dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV), sebelum rakaman berkenaan tular di media sosial.
Lelaki tersebut, yang dikenal pasti sebagai Yeo Song Khoon, dilihat mengalami masalah untuk berjalan, sebelum berhenti di sebuah meja diduduki seorang wanita bersama anak perempuannya.
Dalam rakaman itu, Yeo dilihat menepuk kepala kanak-kanak berkenaan dengan lembut untuk seketika.
Wanita tersebut kemudiannya mengangkat tangan ke arah Yeo sebelum seorang lelaki yang dipercayai bapa kanak-kanak itu datang menghampirinya.
Lelaki berkenaan kemudian memegang kedua-dua tangan Yeo dan memusingkan tubuhnya sehingga lelaki warga emas itu hilang keseimbangan lalu terjatuh ke lantai.
Anak Yeo, Ray Yeo, yang mengusahakan gerai mi Wanton Bei-Ing di medan selera tersebut, kemudian memuat naik rakaman kejadian ke media sosial, sambil meminta orang ramai membantu mengenal pasti lelaki terbabit.
Menurut Ray, ahli keluarganya segera datang membantu bapanya dan pada awalnya berasa marah dengan kejadian itu.
Bagaimanapun, Yeo dikatakan memberitahu keluarganya bahawa beliau tidak mengalami masalah serius dan tidak mahu memanjangkan perkara tersebut.
Ray turut mendakwa lelaki berkenaan kemudiannya duduk bersama bapanya, memohon maaf serta menawarkan minuman.
Namun begitu, keadaan Yeo dilaporkan berubah selepas kejadian apabila beliau mula mengalami sakit belakang yang teruk.
Keluarga tersebut kemudiannya membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Polis Singapura pada Ahad mengesahkan bahawa mereka telah mengenal pasti seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian atau keadaan yang membawa kepada insiden tersebut, memandangkan siasatan masih dijalankan.
Rakaman CCTV berkenaan kini tersebar luas di media sosial dan boleh ditonton di pautan https://www.facebook.com/share/v/1LQiwaKjNo/?mibextid=wwXIfr.
Ia mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai mengenai batas ruang peribadi, cara berinteraksi dengan kanak-kanak serta perbezaan pandangan antara generasi. - Getaran, 17 Ogos 2026






