
GAMBANG: Sebanyak 70 agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri dihimpunkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menerusi menerusi TERAJU Aspirasi Outreach Pahang 2026.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, kehadiran pelbagai pihak itu membuktikan bahawa agenda pembangunan ekonomi bumiputera merupakan tanggungjawab bersama yang menuntut komitmen seluruh ekosistem.
Beliau berkata, tema TERAJU Aspirasi Outreach Pahang 2026 adalah ‘Merealisasikan Penskalaan Penciptaan Nilai Syarikat Bumiputera’ yang membawa satu mesej sangat jelas.
“Kita bukan sahaja mahu melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera, kita mahu syarikat yang sedia ada terus berkembang dan naik ke tahap yang lebih tinggi. Daripada perusahaan mikro kepada syarikat kecil, daripada kecil kepada sederhana dan seterusnya menjadi peneraju industri yang mampu bersaing di peringkat serantau dan global.
“Itulah maksud sebenar penskalaan, bukan sekadar menambah bilangan syarikat, tetapi membesarkan keupayaan dan nilai yang dicipta oleh syarikat bumiputera,” katanya berucap di Kompleks sukan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Kampus Gambang, di sini.
Mohd Shahar berkata, cabaran terbesar negara adalah bukan lagi melahirkan lebih ramai usahawan mikro, tetapi bagaimana mahu memastikan usahawan itu boleh berkembang.
Beliau berkata, ramai usahawan bekerja keras selama bertahun-tahun tetapi saiz perniagaannya masih sama dan pendapatan tidak berubah, produktiviti juga tidak meningkat.
Katanya, negara memerlukan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana yang mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi.
“Kalau kita gagal mengatasi graduation gap ini, kita akan terus mempunyai ribuan perusahaan mikro yang bekerja keras tetapi sukar berkembang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kerajaan negeri komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pertumbuhan usahawan tempatan.
Namun, katanya, usaha itu memerlukan kerjasama institusi kewangan, agensi pembangunan, institusi pendidikan, sektor swasta, pemain industri dan rakan-rakan strategik.
Beliau berkata, kerajaan Pahang terus menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekonomi bumiputera.
“Kerajaan Pahang amat menghargai komitmen berterusan Kementerian Ekonomi dan TERAJU dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi bumiputera.
“Saya percaya apabila dasar yang jelas disokong dengan pelaksanaan yang berkesan, ditambah pula dengan kerjasama kerajaan, sektor swasta, institusi kewangan dan institusi pendidikan, lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan untuk rakyat,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan, menarik pelaburan berkualiti dan melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang mampu bersaing dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.
“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan Pahang naik kelas, daripada perniagaan kecil kepada syarikat yang lebih kukuh, daripada pasaran tempatan kepada pasaran nasional dan seterusnya mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN
The post TERAJU himpun pelbagai pihak bantu ekonomi bumiputera appeared first on Utusan Malaysia.






