liza14/09/2026 - 11:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept – Pertumbuhan Terengganu yang perlahan hanya 1.6% pada 2025 menunjukkan negeri itu perlu mempercepatkan usaha mempelbagaikan sumber pertumbuhan dengan memberi tumpuan kepada industri bernilai tambah tinggi, pelaburan swasta, pelancongan dan ekonomi biru.
Pensyarah ekonomi berpandangan Terengganu tidak boleh terus bergantung kepada sektor tradisional atau projek pembangunan jangka pendek, sebaliknya perlu membina sumber pertumbuhan yang lebih produktif dan mampu bertahan dalam jangka panjang.
Mereka turut menekankan bahawa sumber dan kelebihan ekonomi negeri perlu diterjemahkan kepada aktiviti bernilai tinggi yang mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran, meningkatkan pendapatan rakyat serta membuka peluang lebih besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Pada Julai lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan ekonomi Terengganu hanya berkembang hanya 1.6% pada 2025 berbanding 4.5% pada 2024, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada sekitar RM40.6 bilion.
Pelaburan Perlu Beri Kesan Tempatan
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, Dr Mohd Khairi Ismail berkata, prestasi ekonomi Terengganu pada 2025 perlu dilihat sebagai isyarat untuk memperkukuh semula struktur ekonomi negeri.
Menurutnya, sektor perkhidmatan masih berkembang 3.6% dan pertanian 4.2%, tetapi sektor pembuatan menguncup 1.2%, manakala pembinaan merosot 5.8%.
Beliau berkata cabaran Terengganu bukan kerana negeri itu kekurangan sumber atau kelebihan ekonomi, sebaliknya bagaimana sumber tersebut dapat ditukar kepada nilai tambah, pelaburan, produktiviti dan pendapatan rakyat yang lebih tinggi.
“Terengganu perlu terus menarik pelaburan tetapi tumpuan perlu beralih daripada sekadar melihat jumlah pelaburan kepada sejauh mana pelaburan berkenaan mampu mencipta rantaian ekonomi tempatan.
“Kelebihan dalam industri minyak dan gas, khususnya di Kerteh dan Kemaman, pula perlu dimanfaatkan untuk membangunkan sektor hiliran bernilai tinggi seperti bahan maju, pemprosesan mineral, bahan untuk tenaga hijau, peralatan industri, industri marin, pembaikan kapal serta industri makanan dan halal,” katanya kepada DagangNews.

Industri Hiliran Dan PKS Tempatan
Dr Mohd Khairi berkata pelaburan sekitar RM5.76 bilion bagi fasiliti pemprosesan mineral di Kemaman menunjukkan potensi Terengganu untuk membangunkan industri bernilai tambah tinggi.
Namun, beliau berkata pelaburan besar seperti itu perlu memberi kesan limpahan kepada ekonomi tempatan melalui penglibatan PKS sebagai vendor, kontraktor, pembekal logistik, penyelenggaraan, kejuruteraan dan perkhidmatan profesional.
Beliau berkata sektor pembinaan yang menguncup 5.8% pada 2025 selepas berkembang 17.5% pada 2024 perlu dipulihkan melalui projek yang benar-benar meningkatkan produktiviti ekonomi negeri.
Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada infrastruktur yang mampu mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan menarik pelaburan baharu, termasuk akses ke kawasan industri, logistik Pelabuhan Kemaman, pusat agro-pemprosesan, kawasan industri baharu dan infrastruktur digital.
Pada masa sama, Dr Mohd Khairi berkata kekuatan industri minyak dan gas perlu digunakan sebagai asas untuk membangunkan industri baharu seperti teknologi tenaga, bahan maju, industri marin, tenaga hijau dan ekonomi biru.

Pelancongan Dan Industri Agro
Dalam sektor pelancongan, Dr Mohd Khairi berkata kejayaan tidak sepatutnya hanya diukur berdasarkan jumlah pelancong, sebaliknya turut mengambil kira jumlah perbelanjaan setiap pelancong dan tempoh mereka tinggal.
“Pakej tiga hingga lima hari yang menggabungkan ekopelancongan, aktiviti marin, lawatan dari satu pulau ke pulau lain, makanan Terengganu, kraftangan, inap desa berkualiti dan acara antarabangsa boleh meningkatkan nilai ekonomi setiap pelancong,” katanya.
Beliau berkata pertumbuhan sektor pertanian sebanyak 4.2% pada 2025 pula perlu dimanfaatkan untuk membangunkan industri berasaskan agro yang mempunyai nilai lebih tinggi melalui pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan dan pengeksportan.
Menurutnya, Terengganu juga perlu mengenal pasti industri yang mempunyai kelebihan tersendiri sebagai industri identiti negeri (signature industry), termasuk industri marin dan pembuatan bot, makanan dan halal, batik dan kraftangan, ekopelancongan, hasil laut, agromakanan, hiliran petrokimia serta pemprosesan mineral dan bahan maju.

Tiga Fokus Utama
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Nor Fatimah Che Sulaiman pula berkata pertumbuhan ekonomi baharu mesti diterjemahkan kepada pekerjaan berkemahiran, peningkatan pendapatan rakyat dan peluang yang lebih besar kepada PKS tempatan.
“Kejatuhan pertumbuhan kepada 1.6% menunjukkan keperluan untuk beralih daripada model ekonomi yang terlalu bergantung kepada sektor tradisional kepada ekonomi yang lebih pelbagai, produktif, digital, berasaskan inovasi dan mempunyai nilai tambah tinggi.
“Jika mahu pemulihan yang lebih cepat, tiga keutamaan perlu diberi fokus segera, iaitu menghidupkan semula sektor pembuatan, merancakkan pelaburan dan pembinaan yang produktif serta memanfaatkan ekonomi biru dan pelancongan sebagai sumber pertumbuhan baharu,” katanya. - DagangNews.com





