liza19/11/2026 - 12:41 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 19 Nov – Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,500 kepada seluruh penjawat awam negeri itu sebagai penghargaan terhadap jasa dan komitmen mereka dalam melaksanakan tanggungjawab kepada kerajaan negeri.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Beliau berkata, pemberian itu merupakan tanda penghargaan atas khidmat bakti dan dedikasi seluruh warga penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu.
"Sehebat mana pun perancangan dasar yang kita rangka, ia tidak akan menjadi realiti tanpa komitmen dan dedikasi barisan penjawat awam Kerajaan Negeri.
"Justeru, sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti yang dicurahkan oleh seluruh warga penjawat awam Negeri Terengganu, saya dengan
sukacitanya mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,500," katanya.
Pemberian itu adalah jumlah tertinggi setakat ini berbanding RM500 yang diumumkan pada tahun-tahun sebelum ini. - DagangNews.com






