KEMBALI bergelar suami, personaliti media sosial Datuk Red selamat menamatkan zaman dudanya dengan wanita pilihan hati, Rohanita, dalam satu majlis pernikahan pada Jumaat.
Detik bahagia itu dikongsikan secara langsung menerusi siaran langsung di platform TikTok sekali gus menyaksikan ribuan netizen tumpang gembira dan menitipkan doa buat pasangan ini.
**media[3570236]**
Memilih tema putih untuk busana pengantin, Datuk Red atau nama sebenarnya Adnan Abu, 48, bersama Rohanita kelihatan sama cantik sama padan untuk majlis ijab kabul yang diadakan di sebuah masjid di ibu negara.
Menerusi satu hantaran di laman sosial, Datuk Red sempat menitipkan luahan rasa syukur dan penghargaan terhadap Rohanita itu yang sanggup menerima dirinya seadanya.
"Dia tahu susahku, dia tahu kekuranganku, dia tahu kebencian orang terhadapku, tapi dia memilih untuk tidak pergi.
"Terima kasih isteriku menerima lelaki yang gagal segala-galanya. Sayang @rhnita hingga akhir hayatku," tulisnya.
Datuk Red sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi popular, Adira Suhaimi sebagai isteri kedua pada Disember 2015 sebelum disahkan bercerai pada April 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu Anggrek, 9, Asan, 8, Anggun, 7, dan Ayob, 4. - Sinarplus






