
SEREMBAN: Seorang pekerja swasta hari ini hadir menunaikan tanggung jawab sebagai rakyat dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini meskipun mengalami kecederaan kaki.
Muhammad Idzham Mohd. Razi, 34, berkata, kecederaan itu dialami akibat jatuh tangga semasa berada di rumanya di Rasah dekat sini minggu lalu.
Akibatnya, kata beliau, tulang pada bahagian tapak kaki kanan mengalami keretakan dan terpaksa dibalut.
“Saya mengalami kesukaran untuk berjalan dan kecederaan ini mengambil masa untuk pulih.
“Tetapi hari ini saya tetap keluar mengundi kerana ini adalah tanggung jawab sebagai rakyat memilih kerajaan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kelpin dekat sini.
Pusat pengundian itu ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Lee Kai Yet, Erik Michael (Perikatan Nasional) dan N. Sarawanan (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).
Muhammad Idzham yang juga bapa kepada dua anak berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggung jawab sebagai rakyat begitu sahaja dengan menyahut seruan kerajaan supaya mengundi.
“Tak mengapa lah saya terpaksa menahan sakit sedikit kerana urusan mengundi adalah penting bagi setiap rakyat,” ujarnya.
Jelasnya, beliau telah mengundi dalam tiga pilihan raya lalu dan berpuas hati kerana menjadi rakyat yang bertanggung jawab. – UTUSAN
The post Tetap mengundi walaupun kaki cedera appeared first on Utusan Malaysia.





