Tiada pampasan kos e-Invois kepada PMKS, kerajaan sediakan potongan cukai sehingga RM50,000 setahun - MOF

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiada pampasan kos e-Invois kepada PMKS, kerajaan sediakan potongan cukai sehingga RM50,000 setahun - MOF Image from: Tiada pampasan kos e-Invois kepada PMKS, kerajaan sediakan potongan cukai sehingga RM50,000 setahun - MOF sarah26/11/2026 - 12:50 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - Kerajaan tidak akan memberikan pampasan kepada peniaga yang telah menanggung kos pematuhan e-Invois, sebaliknya menyediakan insentif cukai termasuk potongan sehingga RM50,000 setahun bagi perbelanjaan mendapatkan khidmat perundingan berkaitan pelaksanaan sistem berkenaan.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, insentif tersebut turut boleh dituntut oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kini dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois susulan kenaikan ambang jualan tahunan daripada RM1 juta kepada RM3 juta pada 30 Ogos 2026.

 

“Bagi membantu peniaga mengurangkan tanggungan kos pematuhan e-Invois, kerajaan tidak memberi pampasan namun telah menyediakan insentif cukai yang layak dituntut oleh semua perniagaan termasuklah kepada peniaga yang dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Dewan Rakyat hari ini mengenai kemungkinan kerajaan memberikan pampasan atau kredit cukai kepada perniagaan yang telah menanggung kos pematuhan sebelum ambang pengecualian dinaikkan.

 

Chin Tong berkata, meskipun pengecualian diberikan, sebanyak 69,000 PMKS dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM3 juta telah melaksanakan e-Invois secara sukarela.

 

Tuntutan elaun modal secara sekali gus

Bagi mengurangkan beban kos pematuhan, kerajaan membenarkan tuntutan elaun modal secara sekali gus dalam tempoh setahun bagi pembelian peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perisian komputer untuk tahun taksiran 2026 hingga 2027, berbanding dua tahun sebelum ini.

 

Sebagai contoh, syarikat yang membelanjakan RM10,000 untuk membeli komputer dan perisian perakaunan bagi melaksanakan e-Invois pada 2026 layak menuntut keseluruhan elaun modal dalam tahun taksiran berkenaan, sekali gus membolehkan penjimatan cukai dinikmati lebih awal.

“Potongan cukai turut diberikan ke atas kos yang dibelanjakan oleh peniaga untuk mendapatkan khidmat perundingan e-Invois. Jumlah potongan cukai yang layak dituntut adalah sehingga RM50,000 setahun bagi tahun taksiran 2024 hingga 2027,” katanya.

Sebagai contoh, syarikat yang membelanjakan RM5,000 bagi mendapatkan khidmat perundingan e-Invois boleh menikmati penjimatan cukai sebanyak RM750 sekiranya kadar cukai yang terpakai ialah 15%.

Pembetulan e-Invois tanpa penalti sehingga akhir 2027

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, kerajaan turut menyediakan Program Khas Pengakuan Sukarela e-Invois sejak Julai 2026 hingga 31 Disember 2027 bagi membolehkan pembayar cukai, termasuk PMKS yang melaksanakan sistem berkenaan secara sukarela, memperbetulkan rekod atau kesilapan tanpa dikenakan tindakan atau penalti.

Sejak e-Invois diperkenalkan secara berfasa pada 2024, lebih 270,000 pembayar cukai telah melaksanakan sistem tersebut, dengan 172,000 daripadanya melaksanakannya secara sukarela di luar fasa yang ditetapkan.

“Selain membantu pematuhan cukai, rekod perniagaan yang teratur juga dapat meningkatkan keyakinan pihak bank untuk menilai kedudukan kewangan serta keupayaan PMKS dalam mendapatkan akses pembiayaan atau pinjaman yang lebih baik bagi mengembangkan perniagaan dan meningkatkan daya saing,” katanya. 
 

 

 

- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved