Tien Wah beli lima bidang tanah dan bangunan di Malang, Indonesia RM34.1 juta

Business & FinanceProperty
1 Oct 2026 • 6:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tien Wah beli lima bidang tanah dan bangunan di Malang, Indonesia RM34.1 juta Image from: Tien Wah beli lima bidang tanah dan bangunan di Malang, Indonesia RM34.1 juta hamden01/10/2026 - 18:02 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt - Tien Wah Press Holdings Bhd (TWPH) melalui anak syarikat tidak langsung milik 51%, PT Bintang Pesona Jagat (BPJ), memeterai perjanjian jual beli mengikat untuk membeli lima bidang tanah bersama bangunan di Malang, Indonesia pada harga IDR150 juta (RM34.07 juta).

 

TWPH dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lima bidang tanah berkenaan mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 23,393 meter persegi dan dibeli daripada PT Bentoel Prima (PTBP).

 

Menurut kumpulan itu, BPJ kini menyewa kilang berkenaan daripada PTBP pada kadar IDR513.99 juta (RM116,750) sebulan, dibayar secara suku tahunan.

 

Cadangan pengambilalihan itu membolehkan BPJ meneruskan operasi dari lokasi sedia ada tanpa perlu memindahkan operasinya selepas tamat tempoh penyewaan semasa.

 

“Cadangan pengambilalihan itu juga menyokong penyertaannya dalam tender BAT bagi cadangan kontrak bekalan selama lima tahun bagi tempoh 2027 hingga 2031,” katanya.

 

Menurut TWPH, pengambilalihan itu juga akan membantu mengelakkan kos pemindahan yang besar dan kemungkinan gangguan operasi, selain meningkatkan kecekapan logistik memandangkan hartanah tersebut terletak bertentangan dengan kilang BAT.

 

Ia turut memberikan BPJ pemilikan dan penggunaan hartanah operasi untuk jangka panjang.

 

Pembiayaan 

Bagi membiayai pengambilalihan itu, harga pembelian akan dijelaskan sepenuhnya secara tunai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman oleh TWPH dan anak syarikatnya dan/atau pinjaman bank berdasarkan pegangan sahamnya dalam BPJ.

 

PT Bank OCBC NISP Tbk sebelum ini memberikan pinjaman berjangka kepada BPJ sebanyak IDR120 bilion (RM27.26 juta) untuk membiayai sebahagian pengambilalihan itu bagi tempoh 10 tahun.

 

Kemudahan berkenaan membawa kadar faedah terapung 7.5% setahun, dengan bayaran balik bulanan sebanyak IDR1.42 bilion (RM323,551).

 

TWPH berkata, pengambilalihan itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan disatukan dan pendapatan sesaham Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, kecuali perbelanjaan berkaitan pengambilalihan, susut nilai dan kos kewangan selepas penyempurnaan.

 

Bagaimanapun, penggearan Kumpulan dijangka meningkat berikutan pengeluaran pinjaman bank untuk membiayai sebahagian daripada pengambilalihan tersebut.

 

Penyempurnaan pengambilalihan tertakluk kepada pemenuhan keperluan di bawah undang-undang Indonesia, termasuk pelaksanaan dan pendaftaran Akta Jual Beli (AJB), pengesahan cukai serta proses pendaftaran tanah atau pemindahan hak milik dengan pihak berkuasa Indonesia.

 

BPJ terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan percetakan untuk pembungkusan tembakau dan perkhidmatan pembungkusan secara umum.

 

Berdasarkan akaun pengurusan setakat 31 Disember 2025, BPJ mencatat hasil IDR473.31 bilion (RM107.51 juta) dan keuntungan selepas cukai IDR20.38 bilion (RM4.63 juta), dengan aset bersih sebanyak IDR184.34 bilion (RM41.87 juta). - DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved