
SEBERANG PERAI – Tiga kanak-kanak lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang warga emas, 22 Oktober lalu.
Dua daripada mereka yang berusia 11 tahun dan 12 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kali kedua di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 71 tahun menggunakan beberapa peralatan termasuk sebatang mop, sebatang besi, sebatang lampu panjang berwarna putih dan seketul batu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah beralamat Tingkat Binjai 14, Taman Sri Rambai di sini, pukul 6 petang pada 22 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadli Hassan memohon jaminan RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan beserta syarat tambahan iaitu ketiga-tiga kanak-kanak itu perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua minggu sekali.
“Memandangkan mangsa adalah jiran, saya mohon supaya ketiga-tiga kanak-kanak ini beserta ahli keluarga untuk tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai,” katanya.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Zulkarnain yang mewakili ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun memohon jaminan selain mengambil kira usia kanak-kanak terbabit.
“Dua kanak-kanak yang berusia 11 bersama seorang yang berusia 12 tahun ini masih bersekolah.
“Bapa ketiga-tiga kanak-kanak ini bekerja sebagai pekerja kontrak dengan pendapatan RM100 sehari manakala salah seorang ibu tertuduh adalah pekerja kilang dan dua lagi adalah suri rumah,” katanya.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 10 November depan untuk lantikan jurubahasa Myanmar bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula dan serahan dokumen.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu bersama ibu bapa masing-masing dilihat menangis teresak-esak di dalam kamar mahkamah selepas permohonan jaminan ditolak.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia antara sembilan hingga 12 tahun ditahan selepas disyaki mengugut seorang wanita warga emas di hadapan kediamannya di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, dekat sini 22 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu pengadu menegur sekumpulan kanak-kanak yang bermain di taman permainan berhampiran rumahnya kerana membuat bising sebelum kanak-kanak terbabit membaling batu dan melontarkan batang besi ke arahnya.-KOSMO! ONLINE
The post Tiga budak Myanmar didakwa ugut warga emas dengan mop, besi appeared first on Kosmo Online.






