
SUNGAI PETANI: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang pada 2024 dan tahun lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas B. Chandran, 37; A. Vadivelan, 30, dan T. Sundaramurthi, 42, dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Rames’ di Kampung Sungai Division, Kuala Muda antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala Sundaramurthi diwakili peguam S. Shatish dan dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, berikutan perbicaraan berkaitan kumpulan jenayah terbabit turut diadili di mahkamah berkenaan.
Pada 25 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan lelaki yang juga ketua kumpulan jenayah terancang yang aktif di kawasan Sungai Division dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand.
Suspek diberkas ketika dalam penerbangan dari Bangkok menuju ke Hyderabad, sebelum dibawa pulang ke Malaysia berikutan memiliki waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani selain terdapat Notis Merah Interpol. – UTUSAN
The post Tiga lelaki didakwa jadi ahli kumpulan jenayah Geng Rames appeared first on Utusan Malaysia.






