
SUNGAI PETANI – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames pada 2024 dan tahun lalu.
Mereka ialah B. Chandran, 37; A. Vadivelan, 30, dan T. Sundaramurthi, 42.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh sebaik pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (KK).
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di alamat Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) KK, mereka boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala Sundaramurthi diwakili peguam S. Shatish. Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berikutan kes berkaitan kumpulan jenayah terbabit turut dibicarakan di mahkamah berkenaan. Hakim Najwa kemudian membenarkan permohonan tersebut.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 25 Mei lalu dalam kenyataan memaklumkan berjaya menahan lelaki yang juga ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames yang aktif di kawasan Sungai Division, di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek ditahan dalam Op Tiga pada 22 Mei lalu hasil kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand.
Menurutnya, suspek diberkas ketika dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India sebelum dibawa pulang ke Malaysia berikutan memiliki waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani selain mempunyai Notis Merah Interpol.
Pada 30 Disember tahun lalu, seramai 20 ahli Geng Rames yang aktif dalam sindiket jenayah terancang di Kedah dan Pulau Pinang turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames di Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga lelaki dituduh jadi ahli Geng Rames appeared first on Kosmo Digital.






