
HONG KONG - Seorang wanita Malaysia berusia 33 tahun ditahan pihak berkuasa Hong Kong selepas kira-kira lapan kilogram ganja ditemui dalam bagasi daftar masuknya.
Ini adalah tangkapan keempat membabitkan rakyat Malaysia dalam kes berkaitan ganja sejak Julai lalu.
Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong dalam satu kenyataan memaklumkan, wanita itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dari Bangkok, Thailand, sebelum ditahan untuk pemeriksaan kastam pada Ahad.
“Hasil pemeriksaan, pegawai kastam menemui kira-kira lapan kilogram ganja dalam bagasi daftar masuk wanita berkenaan.
“Suspek kemudian ditahan dan siasatan masih dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Tangkapan terbaharu tersebut menyusul tiga kes lain membabitkan rakyat Malaysia yang tiba di Hong Kong dengan ganja disembunyikan dalam bagasi.
Pada 30 Julai lalu, seorang lelaki Malaysia berusia 27 tahun ditahan selepas kira-kira tiga kilogram ganja bernilai HK$600,000 (RM311,000) ditemukan dalam bagasi daftar masuknya selepas dia tiba dari Bangkok.
Dalam kes pada 16 Julai pula, seorang lelaki Malaysia berusia 19 tahun yang tiba dari Bangkok melalui Manila ditahan selepas kira-kira 11 kilogram ganja bernilai HK$2 juta (RM1.04 juta) ditemukan dalam bagasi daftar masuknya.
Sementara itu, pada 9 Julai, seorang lagi lelaki Malaysia berusia 19 tahun ditahan selepas tiba dari Kuala Lumpur melalui Singapura dengan kira-kira tiga kilogram ganja bernilai HK$500,000 (RM260,000), juga ditemui dalam bagasi miliknya.
Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah menerusi analisis risikan.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah demi mendapatkan keuntungan kewangan atau menerima tawaran pihak lain untuk membawa barangan terkawal masuk atau keluar dari Hong Kong.
Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah boleh dikenakan hukuman maksimum denda HK$5 juta (RM2.6 juta) dan penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. - Getaran, 14 September 2026






