Titijaya Land cadang ambil alih dua hartanah RM105 juta di Kota Kinabalu

27/05/2025 - 09:34
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 27 Mei – Titijaya Land Bhd mencadangkan pengambilalihan dua hartanah bersebelahan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu dengan nilai keseluruhan RM105 juta, sebagai langkah memperkukuh kehadiran di Sabah.
Cadangan pengambilalihan pertama bernilai RM99 juta melibatkan pengambilalihan sebidang tanah yang dilengkapi kerja asas sepenuhnya, selain dua blok bangunan 19 tingkat penginapan pelajar berkonsepkan apartment yang merangkumi 513 unit.
Dua blok itu mampu menampung sehingga 3,078 pelajar dan Titijaya bercadang mengoperasikan bangunan tersebut serta menyiapkan baki kerja projek sedia ada bagi memenuhi permintaan kediaman pelajar di kawasan sekitar.
Sementara itu, cadangan kedua pula bernilai RM6 juta membabitkan sebidang tanah yang menempatkan struktur bangunan sedia ada, sebelum ini dirancang untuk projek Bangunan Koperasi UMS yang dilancarkan pada 2012, namun terbengkalai.
Syarikat berkata, perjanjian telah dimeterai bersama Yayasan Universiti Malaysia Sabah, Bay Precinct Sdn Bhd dan pengarah syarikat, Lok Yee Hsun.
Projek asal itu dirancang melibatkan pembinaan bangunan apartment 14 tingkat dengan 476 unit dan satu lot kedai satu tingkat menempatkan 38 unit.
Namun, ia tidak disiapkan dan terbengkalai sebelum Titijaya mengambil inisiatif menyambung semula pembangunan kepada kediaman baharu.
Menurut Titijaya, lokasi strategik kedua-dua aset yang berhampiran UMS dan Hospital UMS yang bakal beroperasi, menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi tumpuan pembangunan hartanah di Kota Kinabalu.
Pengarah Urusan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, kumpulan itu sebelum ini telah menembusi pasaran Sabah menerusi pembangunan mewah The Shore dan hotel Citadines Waterfront Kota Kinabalu yang diuruskan oleh Ascott.
"Ini akan mengukuhkan lagi penerokaan kami di Sabah dan Malaysia Timur secara keseluruhan, sekali gus meletakkan kami dalam kedudukan untuk meraih manfaat jangka panjang hasil pertumbuhan pesat rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pengambilalihan itu dijangka selesai dalam tempoh sembilan bulan.- DagangNews.com
standard


