Tourism Malaysia perkukuh pelancongan berbasikal rentas sempadan

17 Sep 2026 • 2:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tourism Malaysia perkukuh pelancongan berbasikal rentas sempadan

PETALING JAYA: Tourism Malaysia menjalin kerjasama dengan Malaysia Sports Tourism Association (MySTA) dan Bike Aid Singapore bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan berasaskan pengalaman.

Langkah berkenaan memanfaatkan acara berbasikal rentas sempadan edisi ke-16, Ride for Rations 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 13 September lalu melibatkan laluan dari Singapura ke Kluang dan Batu Pahat, Johor.

Inisiatif itu menyaksikan pelancaran rasmi tujuh pakej pelancongan berbasikal baharu yang dibangunkan oleh lima agensi pelancongan tempatan bagi memperluas penawaran segmen berkenaan untuk pasaran antarabangsa.

Tourism Malaysia berkata, acara yang disertai kira-kira 70 peserta dan 30 kru sokongan itu mengetengahkan konsep kayuhan santai menerusi pendekatan “Ride, Eat and Ride Again”.

“Pendekatan ini membolehkan peserta meneroka destinasi tempatan sambil singgah di premis makanan, lokasi tarikan dan kawasan komuniti di sepanjang laluan untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih autentik.

“Kerjasama ini turut memperkenalkan konsep “The Ride, The People & The Destination” bagi membangunkan produk pelancongan berbasikal untuk kumpulan kecil serta Pelancong Bebas (FIT),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tumpuan awal diberikan kepada pasaran Singapura berikutan faktor kedudukan geografi yang dekat dan minat tinggi terhadap aktiviti berbasikal rekreasi, sebelum diperluas ke pasaran antarabangsa serta potensi itinerari Thailand–Malaysia.

“Inisiatif ini dijangka menyumbang kepada pendedahan media dan digital di Singapura, Thailand, Indonesia serta pasaran domestik bagi mengukuhkan jenama pelancongan negara.

“Langkah ini juga memberi manfaat secara terus kepada pengusaha makanan, penyedia penginapan dan perusahaan kecil di sepanjang laluan kayuhan,” katanya.

Malaysia merekodkan pertumbuhan positif kehadiran pelawat Asia Tenggara bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 dengan 15.4 juta ketibaan, iaitu peningkatan 1.8 peratus berbanding 15.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu. –UTUSAN

The post Tourism Malaysia perkukuh pelancongan berbasikal rentas sempadan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved