
PERGINYA ketika menabur bakti, doktor wanita Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 32, antara mangsa yang terkorban dalam tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak.
Berita pemergian Dr Ainul dikongsikan adik iparnya, Nureez Mohd Pauzi, 35, yang memaklumkan panggilan daripada KKM itu dibuat kepada suami pegawai perubatan tersebut iaitu Muhammad Faiz Abdul Malik sekitar jam 4 petang lebih.
Difahamkan, Dr Ainul sudah tiga tahun berkhidmat di Sarawak manakala suaminya merupakan guru yang bertugas di SK Sungai Sebatu, Subis.
"Setakat ini jenazah belum ditemui lagi.

"Sudah menjadi kebiasaannya bersama jururawat menggunakan perkhidmatan helikopter untuk ke klinik yang terletak di kawasan pedalaman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu, Pertubuhan Alumni SMK Agama Naim Lilbanat berkongsi ucapan takziah buat keluarga Dr Ainul yang merupakan salah seorang alumni sekolah berkenaan.
"Dengan penuh rasa dukacita, Pertubuhan Alumni SMKA Naim Lilbanat merakamkan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Alumni Naim SPM 2010, yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini setelah terlibat dalam nahas helikopter ketika sedang menjalankan tugas di Sarawak.
"Pemergian Almarhumah dalam usia yang masih muda, apatah lagi ketika sedang menunaikan amanah dan tanggungjawab, merupakan satu kehilangan yang amat menyedihkan buat keluarga, sahabat, rakan seperjuangan serta seluruh warga dan alumni SMKA Naim Lilbanat.

"Semoga segala khidmat, pengorbanan dan kebaikan Almarhumah sepanjang hayatnya menjadi amal soleh yang diterima di sisi ALLAH SWT," kongsinya.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, perkhidmatan berkenaan melibatkan laluan dari Miri ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang, Marudi.
Artikel berkaitan:
Menurutnya, kejadian itu disahkan berlaku pada jam 3.32 petang.
Sementara itu, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan, helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara ketika kejadian.
CAAM menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (Flight Information Service) pada jam 3.58 petang.
Jelasnya lagi, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Difahamkan Long Lellang STOLport terletak di kawasan pedalaman Sarawak dan menjadi antara laluan yang menghubungkan komuniti terpencil di kawasan berkenaan.
Sumber: Sinar Harian






