Tuanku Muhriz batalkan semua pelantikan Exco, MB perlu kemuka senarai baharu

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 10:05 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta.

Image from: Tuanku Muhriz batalkan semua pelantikan Exco, MB perlu kemuka senarai baharu

Memetik laporan Bernama, keputusan berkenaan dimaklumkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali menerusi satu kenyataan malam tadi, susulan tindakan dan kenyataan kesemua Exco terbabit pada 15 September lalu yang didapati memungkiri sumpah jawatan mereka.

Menurut Azizi, Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Kesemua ahli berkenaan sebelum ini telah mengangkat sumpah serta menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

“Mereka telah berikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia dan kepada Institusi Diraja, bersumpah melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan, serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Mereka telah memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 Sept. Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia telah menarik balik perkenan Baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta.
“Setiap individu berkenaan telah dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut melalui warkah,” katanya dalam kenyataan itu.

Image from: Tuanku Muhriz batalkan semua pelantikan Exco, MB perlu kemuka senarai baharu

Susulan pembatalan tersebut, Azizi berkata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu mengemukakan senarai calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu untuk pertimbangan serta perkenan Tuanku Muhriz.

Langkah itu perlu dibuat selaras dengan Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut menekankan supaya urusan pentadbiran negeri terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan atau halangan, selain memastikan kepentingan rakyat sentiasa diberi perhatian.

“Tuanku Muhriz menjangkakan Menteri Besar memastikan pentadbiran Negeri Sembilan diteruskan tanpa apa jua gangguan dan halangan menurut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, dan supaya kepentingan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.

Artikel lain: Akur pandangan AGC, proklamasi Tuanku Muhriz tidak akan diwartakan -SUK N. Sembilan

Sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang dilantik pada Ogos lalu ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah), Datuk Mustapha Nagoor (Pembangunan Belia dan Sukan), Datuk Zaifulbahri Idris (Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan) serta Siow Kong Choon (Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam).

Turut dilantik ialah Siti Nur Umaira Hasim (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Mohd Asna Amin (Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup), Suhaimizan Bizar (Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)), Mohd Fairuz Mohd Isa (Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) serta Datuk Razali Abu Samah (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).

Sumber: Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved