Tujuh lelaki Yemen ditahan pandu kereta secara berbahaya di Jalan Sungai Besi

LocalCars
29 Aug 2026 • 9:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tujuh lelaki Yemen ditahan pandu kereta secara berbahaya di Jalan Sungai Besi
Mohd Zamzuri berkata, kesemua lelaki berumur 23 hingga 26 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara dan telah dibebaskan dengan jaminan polis. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Polis menahan tujuh individu warga Yemen bagi membantu siasatan kes dua kereta dipandu secara berbahaya di Jalan Sungai Besi, di sini tengah malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kesemua lelaki berumur 23 hingga 26 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara semalam dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika kedua-dua kenderaan berkenaan sedang bergerak di Jalan Sungai Besi menghala ke Jalan Bukit Bintang.

"Penumpang bagi kedua-dua kenderaan telah bertindak mengeluarkan badan serta duduk di atas tingkap pintu kenderaan secara berbahaya ketika kenderaan sedang bergerak.

"Lima daripada individu yang ditahan ialah pelajar universiti awam di Kedah, manakala dua lagi merupakan lepasan universiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, hasil soal siasat terhadap pemandu mendapati aksi berkenaan dilakukan sekadar berseronok bagi meraikan perkahwinan seorang rakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan, iaitu peruntukan berkaitan perbuatan cuai atau gopoh yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan penumpang dua kereta mengeluarkan badan dan duduk di bahagian tingkap kereta semasa kenderaan berkenaan sedang dipandu di Jalan Sungai Besi. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved