KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Tindakan berbahaya sekumpulan individu warga Yaman yang mengeluarkan badan dan duduk di atas tingkap pintu kenderaan ketika bergerak di Jalan Sungai Besi di sini pada Jumaat dipercayai dilakukan untuk berseronok bagi meraikan perkahwinan seorang rakan mereka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian itu dikesan menerusi satu video yang tular di laman Threads dan membabitkan dua buah kenderaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika kedua-dua kenderaan berkenaan bergerak di Jalan Sungai Besi menghala ke Jalan Bukit Bintang.
"Penumpang kedua kenderaan bertindak mengeluarkan badan serta duduk di atas tingkap pintu kenderaan secara berbahaya ketika kenderaan sedang bergerak.
"Hasil siasatan mendapati individu terlibat terdiri daripada tujuh lelaki warga Yaman berusia antara 23 hingga 26 tahun," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan pemanduan dengan aksi berbahaya melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Video berkenaan memaparkan beberapa individu berada dalam keadaan berbahaya ketika kenderaan sedang bergerak.
Mohd Zamzuri berkata, daripada jumlah berkenaan, lima individu merupakan pelajar universiti awam di Kedah, manakala dua lagi adalah lepasan universiti.
"Hasil soal siasat terhadap pemandu kenderaan terbabit mendapati tindakan berkenaan dilakukan semata-mata untuk berseronok bagi meraikan perkahwinan seorang rakan.
"Perbuatan itu bagaimanapun boleh membahayakan keselamatan mereka sendiri serta pengguna jalan raya lain," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Mohd Zamzuri meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan.
"Orang ramai boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.




![[VIDEO] Raikan perkahwinan, warga Yemen buat aksi bahaya atas kereta](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-29-at-07.04.15-1024x682.jpeg)

