
PUTRAJAYA: Legenda sukan badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei menyifatkan Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sebagai seorang insan yang amat dekat dengan komuniti badminton negara sehingga dianggap seperti ibu kepada pemain.
Menurut beliau, Allahyarhamah bukan sahaja sentiasa mengikuti perkembangan badminton tanah air, malah tidak pernah gagal memberikan sokongan kepada pemain negara sama ada ketika mengecapi kejayaan mahupun berdepan kekalahan.
“Beliau seperti seorang ibu kepada kami. Tidak kira kami menang atau kalah, beliau tetap memberi sokongan dan sentiasa berada di belakang kami.
“Kebiasaannya apabila kalah, mungkin tidak ramai yang menghubungi kita, tetapi beliau tetap akan bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat,” katanya ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah di Pusara Negara, di sini hari ini.
Chong Wei berkata, setiap kali kejohanan terbuka badminton berlangsung, Allahyarhamah akan hadir memberikan sokongan dan sentiasa memaklumkan hasratnya untuk datang menyaksikan perlawanan.
“Setiap tahun apabila mahu hadir, beliau akan menghantar mesej kepada saya dan memaklumkan bahawa beliau mahu datang menonton badminton.
“Saya akan tunggu beliau kerana saya tahu beliau memang begitu meminati badminton dan sentiasa menyokong pemain negara,” katanya.
Katanya, sifat prihatin Allahyarhamah turut terserlah apabila beliau tidak pernah melupakan jasa serta sumbangan legenda-legenda badminton negara daripada pelbagai generasi.
“Apabila bertemu, beliau bukan hanya bertanya tentang saya seorang. Beliau akan bertanya mengenai Datuk Misbun Sidek, Datuk Rashid Sidek, Ong Ewe Hock dan ramai lagi pemain terdahulu,” katanya.
Tambah beliau, Allahyarhamah juga sentiasa menghormati ruang peribadi atlet terutama selepas mereka pulang daripada kejohanan besar.
Katanya, ketika temasya seperti Sukan Olimpik, Allahyarhamah lebih selesa menunggu sehingga segala urusan pemain selesai sebelum bertemu mereka.
Lee turut mengimbau detik terakhir pertemuannya dengan Allahyarhamah pada tahun lalu serta kebiasaan Tun Dr. Siti Hasmah yang tidak pernah lupa mengirimkan ucapan Tahun Baharu Cina kepada beliau dan keluarga.
“Setiap Tahun Baharu Cina, beliau tidak pernah lupa menghantar mesej mengucapkan selamat tahun baharu kepada saya dan keluarga. Setiap tahun beliau melakukan perkara yang sama.
Menurut beliau, antara kenangan yang paling menyentuh hati adalah semangat Allahyarhamah untuk terus hadir menyaksikan badminton walaupun keadaan penglihatannya semakin terhad.
“Beliau akan memegang tangan saya dan bertanya siapa yang sedang bermain serta berapa kedudukan mata ketika itu. Semangat beliau untuk menyokong badminton negara memang luar biasa,” katanya.
Lee mengakui terkejut apabila menerima berita pemergian Allahyarhamah ketika berada di Jepun bagi mengikuti acara badminton sempena Sukan Asia.
“Saya baru pulang dari Nagoya malam semalam. Pada pagi itu selepas perlawanan Pearly Tan dan M. Thinaah, kami melihat berita tersebut di Facebook dan memang terkejut,” katanya. – UTUSAN
The post Tun Hasmah ibarat ibu kami – Lee Chong Wei appeared first on Utusan Malaysia.





