“TV, Skuter Anak, Barang Kemas Lesap” – Wanita Kongsi Reaksi Suami Ketika Rumah Dipecah Masuk Raih Perhatian

11 Jun 2026 • 7:03 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “TV, Skuter Anak, Barang Kemas Lesap” – Wanita Kongsi Reaksi Suami Ketika Rumah Dipecah Masuk Raih Perhatian

KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang wanita mengenai reaksi tenang suaminya selepas mendapati rumah mereka dipecah masuk mencuri perhatian ramai netizen di media sosial.

Menerusi hantaran di Threads, wanita dikenali sebagai Iziana Odyy berkata mereka baru pulang dari kampung sebelum menyedari beberapa barangan di rumah telah hilang dipercayai dicuri.

Menurutnya, sebelum membuka pintu rumah, suaminya sempat memeluk dan menasihatinya supaya tidak terlalu marah atau meratap sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Sebaik memasuki rumah, mereka mendapati televisyen, skuter elektrik milik anak serta penapis udara telah hilang.

Wanita itu kemudian memeriksa beberapa bilik sebelum menyedari barang-barang kemas miliknya turut lesap.

“Masuk setiap bilik, apa saja yang ada semua depa ambik macam nak pindah rumah,” tulisnya.

Apa yang menarik perhatian netizen ialah sikap suaminya yang dilihat kekal tenang walaupun berdepan kerugian.

Menurut wanita itu, suaminya berulang kali mengingatkan bahawa segala harta yang dimiliki hanyalah pinjaman daripada Allah.

“Tak pa na, kita pun mana ada apa. Semua Allah bagi pinjam, so bila Dia nak ambik balik mana kita boleh marah,” katanya memetik kata-kata suaminya.

Wanita itu turut mengakui berasa pelik kerana tidak terlalu sedih walaupun sebahagian barang kemas yang hilang mempunyai nilai sentimental kerana dikumpul sejak zaman muda dan ada yang merupakan hadiah daripada kenalan serta suaminya.

Beliau turut memaklumkan laporan polis telah dibuat sebelum pihak berkuasa berjaya mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Tindakan Suami Selepas Tahu Siapa Pelakunya Raih Pujian

Dalam perkongsian sama, wanita berkenaan mendedahkan individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu merupakan anak-anak jiran di kawasan taman perumahan mereka.

Lebih menyentuh hati, tiga hari selepas kejadian berkenaan, salah seorang daripada kumpulan terbabit dilaporkan meninggal dunia akibat overdos di rumahnya.

Menurut wanita itu, suaminya bertindak membeli air mineral dan makanan untuk tetamu sebelum mengajak isteri serta anak-anak menziarahi keluarga arwah.

Malah, mereka turut menghadiahkan bacaan al-Quran dan mendoakan arwah.

“Dia minta saya reda kalau arwah ada buat apa-apa salah dengan kami,” katanya.

Wanita itu berkata suaminya percaya setiap ujian yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dan seseorang yang menyakiti atau mengkhianati kita hanyalah asbab yang diizinkan Allah untuk menguji keimanan manusia.

“Siapa pun makhluk yang Allah hantar untuk sakiti kita atau khianati kita, percaya lah mereka juga hanya ‘alat’ yang Allah hantar untuk menguji kekuatan iman kita,” tulisnya.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang memuji ketenangan dan sifat pemaaf ditunjukkan pasangan berkenaan ketika berdepan ujian kehilangan harta benda.

Bagaimanapun, wanita itu menjelaskan bahawa mereka tidak membiarkan perbuatan jenayah berlaku begitu sahaja kerana laporan polis telah dibuat dan suspek juga berjaya ditahan, namun memilih untuk tidak menyimpan dendam terhadap individu yang terlibat. – The Malaysian Update


Sokong TMU

Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.

Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Sokong TMU di sini

The post “TV, Skuter Anak, Barang Kemas Lesap” – Wanita Kongsi Reaksi Suami Ketika Rumah Dipecah Masuk Raih Perhatian appeared first on The Malaysian Update.