
MUNICH – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta bimbang kecederaan Bukayo Saka mungkin serius selepas pemain sayap itu terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-10 ketika seri 2-2 menentang Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), semalam.
Saka dipercayai mengalami kecederaan paha ketika aksi di Allianz Arena itu, sekali gus memaksa Arteta melakukan pertukaran awal dengan memasukkan Eberechi Eze bagi mengisi kekosongan di bahagian serangan.
Bagaimanapun, Arteta mengakui kebimbangan mula timbul selepas Saka terpaksa meninggalkan padang akibat kesakitan yang dialaminya.
“Agak membimbangkan. Apabila seorang pemain terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kesakitan yang tajam, itu bukan petanda yang baik,” katanya.
Arteta turut menyifatkan pertembungan itu sebagai antara aksi terbaik yang pernah dipamerkan pasukannya dengan kedua-dua kelab tampil agresif menerusi tekanan tinggi dan corak permainan menyerang.
Pada perlawanan itu, Arsenal berada di hadapan menerusi Eze sebelum mereka ketinggalan apabila Alphonso Davies meledak gol penyamaan dan Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti untuk berada di hadapan.
Arsenal berjaya mengelak kekalahan selepas Declan Rice menyempurnakan hantaran Viktor Gyokeres untuk mereka membawa pulang satu mata pada perlawanan berkenaan. – AGENSI
The post UCL: Arteta bimbang kecederaan Saka appeared first on Kosmo Online.






