UEM Sunrise, AME Elite bangunkan taman perindustrian RM4 bilion di Iskandar Puteri Johor

30 Oct 2026 • 5:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UEM Sunrise, AME Elite bangunkan taman perindustrian RM4 bilion di Iskandar Puteri Johor Image from: UEM Sunrise, AME Elite bangunkan taman perindustrian RM4 bilion di Iskandar Puteri Johor liza30/10/2026 - 17:58 Usaha sama berkenaan dilaksanakan menerusi Gerbang Synergy Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan oleh anak syarikat masing-masing, iaitu UEM Land Berhad dan AME Development Sdn Bhd Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt – UEM Sunrise Berhad dan AME Elite Consortium Berhad menjalinkan kerjasama strategik menerusi usaha sama 50:50 bagi membangunkan taman perindustrian di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri Johor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4 bilion.

 

Kerjasama itu melibatkan pengambilalihan tanah pegangan bebas berkeluasan 162.7 hektar (402 ekar) pada harga RM972.1 juta daripada Nusajaya Rise Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UEM Sunrise.

 

Usaha sama berkenaan dilaksanakan menerusi Gerbang Synergy Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan oleh anak syarikat masing-masing, iaitu UEM Land Berhad dan AME Development Sdn Bhd.

 

Pembangunan yang dicadangkan itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan fasa pertama dijangka bermula menjelang akhir 2027.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan berkata kerjasama itu menggabungkan kekuatan kedua-dua syarikat dalam pemilikan tanah strategik, perancangan perbandaran serta pembangunan taman perindustrian.

 

Gabungan kepakaran bangunkan hab perindustrian

Menurutnya, usaha sama itu mencerminkan pendekatan syarikat dalam memajukan bank tanah menerusi pembangunan berdisiplin serta kerjasama strategik yang menggabungkan kepakaran saling melengkapi.

 

Beliau berkata, kerjasama berkenaan turut membolehkan kedua-dua pihak berkongsi tanggungjawab pelaburan dan risiko pelaksanaan projek, selain mengekalkan kepentingan dalam potensi penciptaan nilai jangka panjang pembangunan itu.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite, Dylan Tan Teck Eng berkata syarikat yang mengembangkan operasi ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) semakin memerlukan kemudahan operasi bersepadu yang memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Beliau berkata, kerjasama itu memperluas portfolio pembangunan jangka panjang AME Elite serta mengukuhkan kedudukannya di Iskandar Puteri, lokasi yang mempunyai rekod pembangunan beberapa taman perindustrian.

 

Sasar industri bernilai tinggi, manfaat JS-SEZ

Taman perindustrian berkenaan menyasarkan untuk menarik pelaburan langsung asing dan domestik dalam sektor bernilai tinggi, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), peranti perubatan serta logistik.

 

Pembangunan itu turut menyasarkan penyediaan kemudahan perindustrian berspesifikasi tinggi yang boleh disesuaikan mengikut keperluan operasi syarikat tempatan dan antarabangsa, khususnya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi.

 

Johor merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion pada 2025, sekali gus menjadikannya destinasi pelaburan utama Malaysia bagi tahun berkenaan, dengan RM77 bilion daripadanya merupakan pelaburan diluluskan di bawah JS-SEZ.

 

JS-SEZ pula menyasarkan untuk menarik 100 projek pelaburan dan mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran dalam tempoh 10 tahun pertama pelaksanaannya.

 

Dari segi lokasi, pembangunan itu terletak kira-kira 15 minit dari Laluan Kedua Malaysia-Singapura dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar, sekali gus menyediakan akses rentas sempadan ke Singapura.

 

Kawasan itu turut mempunyai jaringan perhubungan ke seluruh Semenanjung Malaysia menerusi Lebuhraya Laluan Kedua dan rangkaian kereta api KTM, selain akses ke Pelabuhan Tanjung Pelepas serta Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

 

Projek berkenaan turut memanfaatkan pengalaman AME Elite dalam pembangunan dan pengurusan taman perindustrian, termasuk i-Park @ Senai Airport City, i-Park @ Indahpura dan i-TechValley di Southern Industrial and Logistics Clusters (SiLC), Iskandar Puteri. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved