UEM Sunrise semakin menyerlah, Johor pegang kunci pertumbuhan - penganalisis

21 Aug 2026 • 9:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UEM Sunrise semakin menyerlah, Johor pegang kunci pertumbuhan - penganalisis Image from: UEM Sunrise semakin menyerlah, Johor pegang kunci pertumbuhan - penganalisis johardy21/08/2026 - 09:38 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - UEM Sunrise Bhd dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada separuh kedua 2026, disokong penjanaan hasil menerusi aset tanah, peningkatan bil hartanah dan jualan belum dibil yang besar, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan lebih baik ketika penganalisis semakin positif terhadap prospek pertumbuhan pemaju hartanah itu.

 

Kumpulan itu juga dilihat sebagai antara penerima manfaat utama daripada peningkatan aktiviti pelaburan di Johor, disokong pegangan tanahnya yang luas di negeri berkenaan serta usaha mempercepat pembangunan dan mengitar semula modal ke koridor pembangunan utama di selatan.

 

CIMB Research berkata, pihaknya kekal positif terhadap prestasi pendapatan UEM Sunrise bagi 2026, disokong jangkaan pengiktirafan penuh hak terjamin bernilai RM415 juta daripada perjanjian hak pembangunan dengan Exsim KLCC Sdn Bhd menjelang separuh kedua tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan transaksi berkenaan boleh menghasilkan tambahan keuntungan pelupusan kira-kira RM66 juta.

 

Pegangan tanah Johor tawar potensi peningkatan nilai

“UEM Sunrise kekal sebagai pilihan utama kami untuk mendapat pendedahan kepada peningkatan semula nilai tanah di Johor, mengambil kira pegangan tanahnya yang luas dan strategik di selatan, di samping usaha yang semakin giat untuk mempercepat pengaktifan tanah serta mengitar semula modal ke koridor pembangunan utama di selatan,” kata CIMB Research.

 

Pemaju itu mempunyai jualan belum dibil berjumlah RM2.9 bilion setakat 30 Jun, menyediakan aliran kukuh bagi pengiktirafan hasil, manakala pelan induk perindustrian Gerbang Nusajaya kekal mengikut jadual untuk dilancarkan pada suku pertama tahun kewangan 2027.

 

CIMB Research mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran 85 sen.

 

RHB Research turut menjangkakan pendapatan UEM Sunrise akan mendapat sokongan daripada beberapa pelancaran akan datang termasuk MAIA Mont’ Kiara, pembangunan di atas tanah Dutch Lady Malaysia di Seksyen 13, Petaling Jaya, selain Estuari ParkHomes dan Intrika 4 Serene Heights.

 

MAIA Mont’ Kiara akan menawarkan unit bersaiz besar antara 1,485 kaki persegi hingga 2,982 kaki persegi pada harga kira-kira RM950 sekaki persegi. RHB berkata, sambutan awal bagi pratempahan projek itu adalah “amat menggalakkan”.

 

RHB mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran 86 sen.

 

Xi


Penyusunan semula strategik semakin rancak

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research melihat UEM Sunrise sedang melalui penyusunan semula strategik yang memberi tumpuan kepada usaha membuka nilai pegangan tanah, memperkukuh rangkaian pembangunan di Johor dan meningkatkan sumber pendapatan berulang secara berperingkat.

 

“Dari sudut strategik, kami melihat UEM Sunrise sedang melalui satu penyusunan semula. Dalam tempoh terdekat, kumpulan merancang membuka nilai menerusi monetisasi pegangan tanah,” kata HLIB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran 92 sen, berdasarkan diskaun 60% kepada anggaran nilai aset bersih disemak semula sebanyak RM2.31.

 

Satu lagi penyumbang berpotensi ialah Horizon Mall di Johor yang dimiliki 50% oleh UEM Sunrise dan mempunyai keluasan boleh disewa bersih 150,000 kaki persegi. HLIB menjangkakan pusat beli-belah itu mula beroperasi pada September 2026 dengan kadar komitmen penghunian sebanyak 80%.

 

Momentum pendapatan semakin kukuh

Keputusan kewangan terkini UEM Sunrise sudah menunjukkan peningkatan momentum operasi. Hasil bagi suku kedua meningkat 36.9% tahun ke tahun kepada RM605.71 juta, manakala keuntungan bersih meningkat lebih dua kali ganda kepada RM46.85 juta.

 

Bagi separuh pertama 2026, hasil meningkat 10.9% kepada RM953.42 juta, manakala keuntungan bersih melonjak 47% kepada RM63.05 juta.

 

Gabungan peningkatan bil, jualan belum dibil RM2.9 bilion, monetisasi tanah dan pelancaran baharu menyediakan beberapa pemacu pendapatan kepada UEM Sunrise menjelang separuh kedua, manakala portfolio tanahnya di Johor menawarkan potensi penciptaan nilai dalam jangka panjang.

 

Dengan ketiga-tiga firma penyelidikan mengekalkan saranan “beli” dan harga sasaran antara 85 sen hingga 92 sen, penganalisis melihat peningkatan momentum pendapatan serta penyusunan semula strategik UEM Sunrise sebagai membuka ruang lebih luas kepada kumpulan itu untuk merealisasikan nilai pegangan tanahnya yang besar. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved