Siri terbaru Apple iPhone 16 telah dilancarkan pada Isnin lalu dan pratempahan pula akan dibuka jam 8 malam nanti. Saban tahun peminat Apple akan bertanya soalan berbaloi atau tidak beli model tahun lalu atau belanjakan sedikit wang untuk dapatkan yang terkini dan terbaik ditawarkan oleh Cupertino tahun ini? Ini ialah ulasan untuk iPhone 15 Pro Max selepas setahun dan saya akan memberikans saranan model iPhone Pro Max mana yang berbaloi dibeli sekarang.
Spesifikasi
Apple iPhone 15 Pro Max Skrin 6.7″ LTPO Super Retina XDR OLED,
120Hz, Dolby VisionPemproses Apple A17 Pro Cip 2 X 3.78 GHz Kuasa Tinggi
4 X 2.8 GHz KecekapanCip Grafik Apple GPU 6 Teras RAM 8GB RAM Muatan Dalaman 256/512/1000 GB VNMe Kamera Utama 48mp f/1.8 OIS, (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
12MP, OIS, f/2.8 5x Zum Optikal (Telefoto)
LiDARKamera Swafoto 12MP f/1.9 Bateri 4441 mAh
Pengecasan berwayar 27W
Pengecasan nirwayar MagSafe 15W
Pengecasan nirwayar Qi 7.5WSIM/Telefoni 1 Nano, 1 eSIM
5GNFC Ya Bicu Audio Tiada Kalis Air IP68 Sistem Imbasan Face ID Harga Jualan RM 6,499 (8/256GB)
RM 7,499 (8/512GB)
RM 8,499 (8/1TB)
*= harga asal yang kini berubah mengikut penjual
SKRIN
Skrin 6.7″ OLED hadir dengan sokongan 120Hz LTPO, keterangan mencecah 2000 nits dan boleh memaparkan kandungan Dolby Vision pada aplikasi Netflix, Prime dan banyak lagi. Saya tidak ada banyak perkara negatif mengenai skrin pada 15 Pro Max kerana dalam 90% situasi ia berfungsi tanpa cela. Haptik skrin 15 Pro Max juga masih terbaik dalam kelas. Hanya Google Pixel dan Oppo saya rasakan mempunyai sistem haptik yang cukup realistik.
Hanya apabila matahari sangat terik barulah saya sukar untuk melihat apa yang dipaparkan pada skrin. Dalam kategori skrin, Galaxy S24 Ultra masih raja kepada semua raja kerana mempunyai lapisan yang mengurangkan pantulan dengan ketara dan oleh itu ia juga paling jelas di bawah matahari Malaysia yang panas.

Kekurangannya berbanding iPhone 16 Pro Max ialah skin yang sedikit lebih kecil. Pada 16 Pro Max skrin kini mencecah 6.9″ sementara pada 15 Pro Max sekadar 6.7″. Tubuh peranti juga sedikit lebih besar. Bergantung kepada anda sama ada memerlukan skrin lebih besar atau merasakan skrin besar menjadikan peranti menjadi terlalu besar sehingga sukar digunakan sebelah tangan.
Izinkan saya untuk mengkritik satu lagi isu dengan skrin iPhone iaitu ia mempunyai sisi yang dibulatkan. Ia menyebabkan apabila video dimainkan dalam mod skrin penuh dalam YouTube, Prime dan Netflix, ada bahagian yang terpotong sedikit. Ini sebab mengapa saya lebih menggemari peranti dengan skrin empat segi seperti Galaxy S24 Ultra.
BIOMETRI
Face ID ialah sistem biometri terbaik pada telefon pintar moden. Ini tidak boleh didebatkan lagi kerana sehingga sekarang selepas enam tahun masih tiada sistem setanding digunakan pada Android. Hanya perlu memandang skrin dan peranti akan dinyahkunci dengan pantas. Alangkah baiknya jika paten teknologi Face ID dijadikan standard pada platform lain.

Rekaan
Rekaan 15 Pro Max sangat berpengaruh sejak dilancarkan September tahun lalu. Ia menjadi ikutan pengeluar Android tahun ini dengan DNAnya boleh dilihat pada peranti Samsung, Pixel, Oppo, dan banyak lagi. Penggunaan bahan titanium bukan sahaja cantik tetapi membuatkan peranti sedikit lebih ringan.
Trend badan berpetak/berkotak juga saya boleh jejak susur galurnya ke 15 Pro Max. Dalam ulasan Pixel 9 Pro XL, saya katakan rekaan tubuh peranti tersebut amatlah sama dengan 15 Pro Max. Hakikatnya di sini ialah rekaan 15 Pro Max memang terbaik dan selesa dalam tangan sehingga menjadi ikutan pengeluar lain. Ini pujian paling tinggi boleh diberikan dalam sesebuah ulasan.

Selepas setahun digunakan, semua butang masih terasa teguh dan tidak ada isu menjadi longgar walaupun telefon ini beberapa kali terjatuh. Action Button saya harus katakan selepas setahun sangat jarang saya gunakan. Ini kerana ia ciri tidak begitu intuitif. Saya hanya memetakannya untuk membisukan notifikasi. Jadi oleh sebab itulah apabila siri iPhone menambah satu lagi butang baharu untuk kawalan kamera saya hanya mampu menggaru kepala. Walaupun Action Button seperti seekor gajah putih, Apple menambah satu lagi butang.

Panel belakang diperbuat daripada kaca dengan bonggol kamera yang semakin besar. Permukaan kaca pada panel adalah tidak berkilat maka tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Sepanjang tahun saya gunakan kerangka maka panel ini masih lagi nampak suci murni seperti seorang bayi baru dilahirkan. Yang tidak suci murni ialah kerangka Fine Woven yang dibeli. Saya bersyukur aksesori ini tidak lagi ditawarkan kerana dalam masa dua bulan sahaja ia sudah menjadi berbulu dan nampak kotor.

Port USB-C di bahagian bawah adalah inovasi paling besar tahun lalu kerana akhirnya saya tidak lagi perlu membawa kabel Lightning apabila melakukan tugasan di luar rumah. Hanya satu kabel USB-C di dalam beg boleh mengecas MacBook, iPad, iPhone, AirPods dan telefon Android.

iPhone 15 Pro Max juga hadir dengan sokongan USB-3 yang memudahkan proses pemindahan data dari telefon ke SSD. Saya kerap memindahkan fail video besar untuk disunting oleh pasukan Amanz TV. Sejak setahun lalu saya tidak lagi mendengar rungutan proses pemindahan data mengambil masa yang lama.

Akhir sekali pada sisi kiri terdapat satu talam SIM bersaiz nano. Jika anda mahu menggunakan lebih daripada satu SIM, anda perlu mempunyai satu eSIM. Ini adalah satu lagi keberanian Apple dalam melakukan kelainan. Kita masih bernasib baik kerana iPhone di Amerika Syarikat hanya menyokong eSIM sahaja sejak tahun lalu. Walaupun mempunyai lubang speaker dan talam SIM fizikal, 15 Pro Max melepasi piawaian kalis debu serta air IP68.
Penggunaan dan Perisian
iPhone 15 Pro Max menerima sokongan iOS 18 dan saya telah gunakan perisian ini sejak dua bulan yang lalu. Saya rasa lebih adil jika saya ulas 15 Pro Max dengan iOS 18 kerana lebih mencerminkan pengalaman jika ia dibeli hari ini. Dengan versi terkini iOS, Apple semakin hampir mengubah sistem oeprasi ini untuk menjadi seteru sebenar Android.
Akhirnya muka depan telefon boleh diperibadikan tanpa perlu menggunakan jailbreak. Ikon boleh diubah saiz, boleh disusun mengikut kehendak hati dan ikon boleh diubah warna juga mengikut kehendak pemilik. Benteng akhir Apple yang berkeras tidak mahu memberikan pemperibadian muka depan telefon akhirnya roboh seperti Tembok Berlin. Biar lambat asalkan dapat.

Pengalaman penggunaan iOS 18 juga adalah lancar dan tiada sebarang isu pada kesemua aplikasi lazim yang saya gunakan. Walaupun dalam mod beta sebulan lalu saya tidak menemukan isu serius. Sekadar kadang kala peranti memanas tanpa sebab yang kini telah hilang selepas menggunakan iOS 18 Release Candidate yang terkini.
Ciri menarik yang boleh digunakan ialah Name Drop yang membolehkan maklumat nombor telefon dihantar kepada pengguna iPhone lain dengan hanya menyentuh bahagian atas peranti. Personal Voice pula membolehkan telefon bercakap menggunakan suara saya sendiri selepas dilatih dalam masa sehari. Ok saya rasakan ciri ini tidak begitu berguna bagi orang kebanyakan dan direka untuk mereka yang kehilangan suara atas sebab-sebab tertentu sahaja.

Pada iOS 18, Siri kini akhirnya bijak. Ia boleh menjawab pertanyaan dan arahan sepantas Google Assistant. Hanya sejak iOS 18 saya tidak rasa kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Siri. Ia turut lebih bijak menerima arahan membuka aplikasi dan menjawab soalan tanpa menyuruh saya membuka pautan laman web. Saya masih belum mampu menggunakan keseluruhan ciri baharu iOS 18 kerana kekangan lokasi, tetapi setakat ini semuanya bagus dan lancar.
Harus diingatkan untuk menggunakan semua ciri Apple Intelligence, anda harus membeli iPhone 15 Pro Max, 15 Pro dan siri iPhone 16 sahaja. Model iPhone yang lain tidak akan menerima kecerdasan buatan dengan sentuhan Apple serta OpenAI tahun ini.
Penanda Aras
Selepas setahun, Apple 17 Pro masih mampu memberikan persaingan yang sengit kepada cip seperti Snapdragon 8 Gen 3 dari sudut kuasa CPU dan juga NPU AI. Di bawah anda boleh melihat markah Apple A17 Pro pada iPhone 15 Pro Max apabila dibandingkan dengan cip-cip mercu utama di pasaran sekarang.
Geekbench 6
- Apple A17 Pro – 2793/6925
- Tensor G4 – 1916/4644
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
- Snapdragon 8s Gen 3 – 1860/4614
- Apple A16 Bionic – 2634/6761
- Snapdragon 8 Gen 2 – 1081/4204
- MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032
Geekbench AI
- Apple A17 Pro – 3705 / 6515 / 5696
- Tensor G4 – 2058 / 2017 / 3129
- Snapdragon 8 Gen 3 – 1704 / 1829/ 2773
- Snapdragon 8s Gen 3 – N/A
- Apple A16 Bionic – 3514 / 6128 / 5344
- Snapdragon 8 Gen 2 – 1642 / 1674 / 2474
- MediaTek Dimensity 9300 – N/A
AnTuTu 3D
- Apple A17 Pro – 1,542,050
- Tensor G4 – 1,016,712
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
- Snapdragon 8s Gen 3 – 1,490,495
- Apple A16 Bionic – 1,457,779
- Snapdragon 8 Gen 2– 1,222,747
- MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552
3DMark Wild Life Extreme
- Apple A17 Pro – 3746
- Tensor G4 – 2567
- Snapdragon 8 Gen 3 – 4717
- Snapdragon 8s Gen 3 – 3083
- Apple A16 Bionic – 3355
- Snapdragon 8 Gen 2 – 3712
- MediaTek Dimensity 9300 – 4067

Hanya dalam ujian grafik seperti Antutu 3D saya dapat melihat markah yang lebih rendah. Namun begitu dalam penggunaan harian perbezaan dalam markah ujian sintetik tidak dapat dilihat dengan ketara. Permua seperti COD Mobile dan Genshin Impact boleh dimainkan pada tetapan tinggi tanpa sebarang isu.
Malahan satu kelebihan iPhone 15 Pro Max ialah ia boleh memainkan permainan tahap konsol seperti Assassin’s Creed Mirage, Resident Evil Village dan Death Stranding. Semua permua ini tidak ada pada platform Android. Sungguhpun begitu saya harus ikhlas dengan anda, kualiti grafik dan kelancaran ketiga-tiga permainan ini pada iPhone 15 Pro Max adalah tidak memuaskan apabila dibandingkan dengan versi PS5. Idea yang baik untuk menawarkan permainan konsol tetapi realitinya ia masih belum mencapai tahap memuaskan.
Dalam beberapa ujian awal ke atas Apple A18 Pro yang tertiris, perbezaan prestasi CPU ialah hanya sehingga 15% berbanding A17 Pro. Ini bukanlah peningkatan yang besar sehingga membuatkan anda perlu membeli iPhone 16 Pro Max malam ini pada hemat saya.
Telefon dan GPS
Kemampuan 5G, WiFi dan GPS pada 15 Pro Max adalah cemerlang. Panggilan suara kedengaran terang lebih-lebih lagi jika menggunakan VoWIFI dan VoLTE. Saya juga sudah gunakan telefon ini ke beberapa benua dan kelajuan ketika perayauan adalah cukup memuaskan. Lokasi dalam peta dikesan dengan pantas walaupun antara bangunan tingi di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Kamera
Kamera ialah antara kekuatan utama iPhone sejak dilancarkan 17 tahun yang lalu. Dominasi mereka dalam kemampuan fotografi kini sudah semakin dicabar oleh pengeluar seperti Xiaomi (dengan Leica) dan Vivo (dengan Zeiss) misalnya. Dengan kombinasi lensa sudut lebar 48MP, ultra sudut lebar 12MP dan telefoto 12MP, boleh diakui ia adalah di atas kertas tidak sebaik yang ditawarkan oleh peranti Android mercu di pasaran. Sementara itu di hadapan pula terdapat kamera 12MP.
Selepas setahun menggunakan 15 Pro Max, saya rasakan kekuatan peranti ini ialah pada lensa utama dan mod potretnya. Gambar yang diambil nampak lebih semula jadi dengan warna yang tepat. Ini amat ketara ketika saya mengulas Pixel 9 Pro XL tempoh hari. Gambar pada Pixel nampak lebih diproses dan oleh itu kelihatan lebih menyerlah.
Saya terdiri dalam golongan manusia yang merasakan gambar harus nampak cantik bukan nampak semula jadi. Apabila bertugas, saya ingin gambar diambil boleh terus digunakan dalam artikel. Tiada masa untuk melakukan suntingan 5 minit sedangkan majikan di pejabat sudah bertanya bilakah artikel boleh diterbitkan. Maka saya boleh katakan di sini jika anda tidak peduli untuk melakukan suntingan selepas gambar diambil, kamera 15 Pro Max adalah serasi dengan keperluan anda.






Gambar swafoto tajam dan tona warna kulit adalah tepat. Kesan bokeh di belakang juga dalam dilakukan dengan cemerlang dengan objek dapat dipisahkan daripada latar belakang dengan baik. Penggunaan LiDAR oleh Apple bagi tujuan ini nyata pilihan yang tepat. Swafoto hadapan juga nampak baik dan terang. Kemampuan kamera iPhone 15 Pro Max masih amat baik walaupun sudah setahun di pasaran.


Perkara yang sama boleh katakan dengan mod malamnya. Tiada isu sumber cahaya membutakan mata, mempunyai kesan lense flare dan pecah-pecah. Objek dalam gambar kekal nampak ketajamannya dan warna kekal semula jadi.




Bateri
Bateri 4441 mAh boleh bertahan sepanjang hari selepas digunakan setahun. Ianya amat konsisten dengan secara purata masih ada 15-20% pada jam 10 malam walaupun ia dicabut daripada pengecas pada jam 6 pagi. Boleh saya kira dengan dua tangan situasi saya perlu mengecas iPhone 15 Pro Max di siang hari. Ini berlaku apabila bekerja di luar dan menggunakan telefon ini sebagai hotspot untuk MacBook. Hanya telefon Android dengan Snapdragon 8 Gen 3 saya sedari boleh menandingi hayat bateri 15 Pro Max tahun ini.

Pengecasan 27W secara berwayar ialah kelemahan iPhone 15 Pro Max. Sedangkan Samsung sudah mengibarkan bendera dan memberikan pengecasan 45W pada S24 Ultra. Tempoh mengecas semula bateri iPhone 15 Pro Max adalah hampir 90 minit yang saya yakin anda juga tak berani untuk melabelnya sebagai pantas. Pengecas MagSafe hanya sehingga 15W yang lebih perlahan berbanding 25W Qi2 pada iPhone 16 Pro Max.
Audio
Speaker tidak mengecewakan kerana bukan sahaja stereo tetapi juga seimbang sungguhpun satu menghala ke sisi dan satu lagi menghala ke hadapan. Pada tetapan paling lantang ianya masih jelas dan mengekalkan pengasingan saluran audio dengan baik.
Pesaing
Apple iPhone 15 Pro Max Samsung Galaxy S24 Ultra Google Pixel 9 Pro XL 6.7″ LTPO Super Retina XDR,
1290 x 2796
120Hz, Dolby Vision6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 2800 x 1260,
120Hz, HDR10+6.8″ LTPO OLED,
1344 x 2992
120Hz, HDR10+Apple A17 Pro (3nm)
2 X 3.78 GHz
4 X 2.11 GHzSnapdragon 8 Gen 3 for Galaxy (4nm)
1 x 3.39 GHz Cortex-X4
3 x 3.1 GHz Cortex-A720
2 x 2.9 GHz Cortex-A720
2 x 2.2 GHz Cortex-A520Google Tensor G4 (4nm)
1 X 3.1 GHz Cortex X4
3 X 2.6 GHz Cortex A720
4 X 1.95 GHz Cortex A720Apple GPU 6 Teras Adreno 750 Mali-G715 MC7 8GB 12GB LPDDR5X
8GB RAM Maya12GB LPDDR5X 256/512/1000 GB NVMe 256/512/1000 GB UFS 4.0 128/256/512/1000 GB UFS 3.1 Kamera Utama
48MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
12MP f/2.8 OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)Kamera Utama
200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
50MP f/3.4, OIS, 5x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
10MP f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)Kamera Utama
50MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
48MP f/1.7 (Ultra Lebar)
48MP f/2.8 OIS, 5x Zum Optikal (Periskop TelefotoKamera Hadapan
12-MP f/1.9Kamera Hadapan
12-MP f/2.2Kamera Hadapan
42-MP f/2.2IP68 IP68 IP68 Tiada bicu audio Tiada bicu audio Tiada bicu audio Audio Stereo Audio Stereo Audio Stereo 4441 mAh
Berwayar 27W
Nirwayar 15W5000 mAh
Berwayar 45W
Nirwayar 15W5060 mAh
Berwayar 37W
Nirwayar 23WRM 6,499 (8/256GB)
RM 7,499 (8/512GB)
RM 8,499 (8/1TB)RM 6,299 (16/256 GB)
RM 6,799 (16/512 GB)
RM 7,799 (16/1000 GB)RM 5699 (16/128GB)
RM 6199 (16/256GB)
RM 6799 (16/512GB)
RM 7999 (16/1000G)
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Apple iPhone 15 Pro Max
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
Kesimpulan
iPhone 15 Pro Max masih lagi sebuah telefon pintar yang kompetitif pada tahun 2024 apabila dibandingkan dengan telefon pintar lain di pasaran. Skrin mantap, pemproses berkuasa, perisian dikemaskini, kamera cantik dan bateri cukup tahan lama. Tetapi iPhone 16 Pro Max sudah boleh dipesan malam ini. Dari setiap aspek, iPhone 16 Pro Max ialah telefon pintar yang lebih baik kerana skrin lebih besar, cip lebih terkini, dan kamera dipertingkatkan.

Di beberapa gedung atas talian, saya melihat secara purata iPhone 16 Pro Max hanya RM500 lebih mahal berbanding iPhone 15 Pro Max dengan storan yang sama. Lebih baik berbelanja sedikit untuk penambahbaikan yang telah saya senaraikan tadi. Alah membeli menang memakai. Beli sahaja yang terbaru untuk mendapatkan yang terbaik ditawarkan Apple tahun ini.
Pro
- Rekaan menarik menjadi ikutan industri.
- Apple A17 Pro masih antara cip paling berkuasa walaupun sudah berusia setahun.
- iOS 18 membuatkan iPhone 15 Pro Max terasa seperti iPhone baharu.
- USB-C dengan USB-3
- Hayat bateri yang sangat baik.
- Kemampuan kamera yang amat memuaskan.
- IP68
Kontra
- Harga tidak begitu banyak beza dengan iPhone 16 Pro Max
- Pengecasan hanya 27W
- Prestasi zum tidak setanding peranti mercu Android di pasaran.


