UMNO anggap protes keputusan pengampunan Najib cabar kuasa Agong - Ahmad Zahid

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 4:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO anggap protes keputusan pengampunan Najib cabar kuasa Agong - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

SHAH ALAM – Sebarang tindakan memprotes keputusan pengampunan bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membawa maksud mencabar kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah adalah hak Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong yang perlu dihormati semua pihak.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa pengampunan kepada Seri Paduka Baginda.

"UMNO berpendirian sebarang perbuatan yang memperlihatkan unsur-unsur protes termasuk menjadikan keputusan pengampunan bersyarat yang dititahkan sebagai alasan sesuatu tindakan diambil, ia boleh membawa maksud kepada mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Tuanku.

"UMNO akan tetap teguh mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Tuanku serta Institusi Raja-Raja Melayu," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Malaysia adalah negara hukum dan semua pihak bertanggungjawab mempertahankan proses perundangan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas ketegasan titah berhubung keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

"Sesungguhnya keputusan pengampunan bersyarat diberikan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah cerminan kuasa dan hak Perlembagaan Kebawah Duli Tuanku yang wajib dihormati oleh segenap lapisan institusi dan rakyat jelata," ujar beliau.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved