
KUALA LUMPUR: UMNO terus menaruh harapan agar permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dapat dipertimbangkan sebaiknya dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menghormati sepenuhnya proses serta hak mutlak dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam perkara berkenaan.
Katanya, UMNO akur perkara itu masih belum dapat diselesaikan pada ketika ini dan akan terus menghormati segala proses yang ditetapkan, termasuk keputusan Lembaga Pengampunan yang telah pun bermesyuarat.
“Kita bersedih di atas keputusan yang telah dibuat Lembaga Pengampunan yang telah bermesyuarat semalam.
“Kita menjunjung kasih dan menghormati sepenuhnya proses serta hak mutlak prerogatif Yang di-Pertuan Agong. UMNO akur perkara ini belum dapat diselesaikan pada ketika ini dan akan terus menghormati segala proses yang ditetapkan.
“Namun, UMNO terus menaruh harapan agar masyarakat dan Lembaga Pengampunan akan datang dapat mempertimbangkan permohonan ini dengan sebaiknya,” katanya ketika menggulung ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.
Beliau berkata, UMNO dengan penuh rendah hati terus memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong agar permohonan pengampunan penuh terhadap Najib dipertimbangkan.
“Dengan rendah hati, kami yang memohon limpah ihsan di bawah Yang di-Pertuan Agong agar diberikan pertimbangan permohonan maaf sepenuhnya kepada Datuk Seri Najib.
“UMNO menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia dengan penuh hormat dan keluhuran Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN
The post UMNO harap permohonan pengampunan Najib dipertimbang appeared first on Utusan Malaysia.






