
KUALA LUMPUR: UMNO hormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung perkara itu.
“Ya, kita masih belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai perkara itu, tetapi seperti yang telah kita nyatakan dalam kenyataan sebelum ini, kita perlu menghormati apa jua keputusan Yang di-Pertuan Agong kerana ia adalah hak prerogatif Baginda di bawah Perlembagaan.
“Sebab itu, tidak wajar mana-mana pihak mempersoalkan kuasa prerogatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sememangnya termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan,” katanya kepada media selepas Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), hari ini.
Asyraf Wajdi turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang didakwa mengamalkan pendirian berbeza apabila membabitkan pemimpin atau kelompok masing-masing.
“Kenapa kita perlu bersikap berat sebelah? Pada satu pihak, kita membenarkan perkara ini berlaku dan menyokongnya apabila ia membabitkan orang atau pemimpin sendiri, tetapi apabila ia melibatkan orang lain, kita cuba berhujah dari pelbagai sudut dan perspektif.
“Itu sama sekali tidak betul,” katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataaan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri sebentar tadi.
Katanya, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah diadakan pada hari ini.
“Seri Paduka Baginda juga berkenan supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN
The post UMNO hormat keputusan Yang di-Pertuan Agong appeared first on Utusan Malaysia.






