United Asiapac tunda penyenaraian ACE Market kepada 14 September untuk terbitkan prospektus tambahan

Business & Finance
15 Aug 2026 • 8:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

United Asiapac tunda penyenaraian ACE Market kepada 14 September untuk terbitkan prospektus tambahan Image from: United Asiapac tunda penyenaraian ACE Market kepada 14 September untuk terbitkan prospektus tambahan johardy15/08/2026 - 08:15 Majlis pelancaran Prospektus United Asiapac Energy Berhad pada 28 Julai 2026. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Ogos - United Asiapac Energy Berhad menunda penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia kepada 14 September 2026 secara tentatif berbanding jadual asal pada 19 Ogos ini, susulan rancangan menerbitkan prospektus tambahan yang mengandungi beberapa penjelasan serta perkembangan kontrak baharu yang diperoleh syarikat.

 

Prospektus tambahan itu akan menjelaskan maklumat tertentu yang didedahkan dalam prospektus asal bertarikh 28 Julai 2026, selain menyediakan butiran mengenai kontrak baharu berkenaan kepada pelabur, menurut kenyataan syarikat.

 

Lembaga Pengarah United Asiapac Energy berkata, maklumat terkini itu wajar disediakan kepada pelabur sebelum penyenaraian syarikat, sejajar dengan komitmennya memastikan pelabur mempunyai akses kepada maklumat relevan dan terkini dalam mempertimbangkan pelaburan mereka.

 

United Asiapac berkata, pelabur yang telah mengemukakan permohonan bagi tawaran awam permulaan (IPO) akan diberi pilihan untuk menarik balik permohonan masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Butiran mengenai prospektus tambahan dan proses penarikan balik permohonan akan diumumkan kemudian.

 

Mengikut garis masa indikatif yang disemak semula, peruntukan saham IPO kepada pemohon berjaya dijadualkan pada 10 September, manakala tarikh akhir bagi penarikan balik permohonan masih belum diumumkan.

 

IPO raih RM48.73 juta

IPO United Asiapac yang berharga 35 sen sesaham membabitkan terbitan awam 139.22 juta saham biasa baharu bagi mengumpul RM48.73 juta, tanpa sebarang tawaran untuk jualan.

 

Bahagian saham yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia sebelum ini terlebih langgan sebanyak 21.02 kali selepas menerima 8,800 permohonan bagi 605.44 juta saham bernilai RM211.9 juta, berbanding 27.5 juta saham yang diperuntukkan.

 

Berdasarkan harga IPO itu, United Asiapac dijangka mempunyai permodalan pasaran RM192.5 juta selepas disenaraikan.

 

Pengarah Urusan United Asiapac, Ahmad Fadzuli Ali berkata, garis masa penyenaraian yang disemak semula itu tidak mengubah komitmen syarikat terhadap strategi dan rancangan pertumbuhan jangka panjangnya.

 

“Kami kekal fokus dalam menyediakan perkhidmatan dengan penekanan tinggi terhadap aspek keselamatan, kecekapan dan tindak balas pantas disokong kepakaran teknikal, di samping terus mengukuhkan kedudukan dalam industri minyak dan gas huluan Malaysia,” katanya.

 

Fokus perkhidmatan medan minyak

United Asiapac mengkhusus dalam `fishing services' iaitu perkhidmatan mendapatkan semula peralatan yang tersangkut di dalam telaga, bagi industri minyak huluan Malaysia.

 

Syarikat itu turut menyediakan perkhidmatan penutupan dan peninggalan telaga (plug and abandonment), penggerudian lencongan (sidetracking) serta perkhidmatan sokongan huluan lain, dengan operasi utamanya berpusat di Kemaman, Terengganu dan Labuan.

 

TA Securities Holdings Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved