
LONDON – Pengurus England, Thomas Tuchel mengakui berdepan aksi penuh kekalutan ketika pasukannya tewas 2-3 menentang Sepanyol pada aksi pertama Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Wembley awal pagi semalam.
Menurutnya, para pemain The Three Lions berjaya memberikan respons yang baik sepanjang perlawanan, namun beberapa kesilapan serta kegagalan memanfaatkan peluang menyebabkan mereka dihukum.
“Permulaan yang teruk, permulaan paling buruk yang mungkin saya lihat. Namun, tindak balas kami sangat baik. Saya fikir kami merupakan pasukan yang lebih baik secara keseluruhan, walaupun kami memberikan mereka beberapa peluang besar.
“Pada 15 minit pertama selepas wisel separuh masa adalah tempoh terbaik kami, tetapi kami tidak dapat menyempurnakan sepakan penalti itu. Jika kami berjaya menjaringkannya, saya rekod tanpa kalah Sepanyol bakal berakhir,” jelas Tuchel.
Pada perlawanan itu, Lamine Yamal membuka jaringan pada awal permainan sebelum Anthony Gordon dan Harry Kane membantu tuan rumah mendahului 2-1.
Bagaimanapun, selepas Kane gagal menyempurnakan sepakan penalti penting, Alex Baena menyamakan kedudukan sebelum Mikel Oyarzabal menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan.
“Keberanian kami sangat luar biasa. Tetapi, kami tidak berjaya menukarkan keberanian itu kepada peluang dan gol yang mencukupi. Pada tahap ini, perkara-perkara kecil sangat penting,” katanya.
Kesilapan yang dirujuk oleh Tuchel itu dikatakan melibatkan dua pemain Manchester City, Nico O’Reilly dan Marc Guehi yang dikait berdepan tekanan selepas kelab mereka didapati bersalah dalam 114 pertuduhan melibatkan manipulasi kewangan sehingga Sepanyol memperoleh dua gol. – AGENSI
The post UNL: England ‘putih mata’ di Wembley appeared first on Kosmo Online.






