
SPLIT – Sepanyol mengekalkan aksi tanpa kalah dalam 43 perlawanan selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Croatia pada aksi Kumpulan A3 Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stadium Poljud awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, pemain gantian, Mikel Merino menjadi wira skuad La Roja apabila meledak dua gol selepas dimasukkan pada minit ke-45 bagi memadam gol awal Croatia yang dijaringkan Ivan Perisic.
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berkata, beliau gembira dengan semangat juang dipamerkan barisan pemainnya yang dilihat sentiasa dahagakan kemenangan sehingga berjaya mengekalkan aksi tanpa kalah terutama dalam empat perlawanan UNL kali ini.
“Pemain-pemain ini memiliki cita-cita yang cukup tinggi. Bagi saya, mereka sentiasa dahagakan kemenangan dan tidak cukup dengan pencapaian sedia ada, mereka mahukan lebih daripada itu.
“Bagi saya, mereka sudah membuktikan perkara itu bukan sahaja hari ini (semalam), tetapi dalam perlawanan sebelum ini juga. Kami tidak mahu mudah berpuas hati dan perlu tunjuk peningkatan setiap hari,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengakui mereka berdepan kesukaran untuk mengekang asakan yang dilakukan Croatia di separuh masa pertama, lebih-lebih lagi mereka baru sahaja dibelasah 0-7 oleh England baru-baru ini.
“Di separuh masa pertama, kami sangat bergelut kerana Croatia sentiasa melakukan asakan ke arah pintu gol. Bagaimanapun, kami hanya sabar di separuh masa kedua dan memanfaatkan setiap peluang,” ujar De La Fuente. – AGENSI
The post UNL: Rekod kebal Sepanyol berterusan appeared first on Kosmo Online.






