liza27/08/2026 - 10:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos – WCT Holdings Berhad terus memberi tumpuan kepada peluang projek di Timur Tengah apabila pasaran itu dilihat berpotensi menjadi sumber pertumbuhan baharu kepada kumpulan, terutama ketika peluang projek infrastruktur tempatan di Malaysia masih terhad.
CGS International berkata, WCT telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM881 juta setakat Ogos 2026 dengan kesemua kemenangan projek tersebut datang daripada pasaran luar negara.
Daripada tiga projek yang diperoleh, dua adalah di Timur Tengah manakala satu lagi di Taiwan yang menunjukkan usaha kumpulan untuk memperluaskan kehadirannya di pasaran antarabangsa mula membuahkan hasil.
Firma penyelidikan itu berkata, pencapaian tersebut juga meletakkan WCT pada landasan untuk mencapai sasaran memperoleh kontrak baharu bernilai RM2 bilion bagi tahun kewangan 2026.
“Kami menjangkakan lebih banyak kemenangan kontrak akan diperoleh pada separuh kedua tahun kewangan 2026, susulan pendekatan pengurusan yang lebih agresif dalam menyertai tender projek,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Lebih Agresif Memburu Projek Pembinaan
Menurut firma itu, walaupun projek di luar negara membawa risiko yang lebih tinggi, WCT mempunyai pengalaman dalam pasaran Timur Tengah dan kawasan tersebut bukan sesuatu yang baharu kepada kumpulan.
Malah, rakan kongsi tempatan WCT di Timur Tengah iaitu Construction General Contracting House Ltd telah beroperasi dalam industri pembinaan selama lebih 30 tahun yang memberikan keyakinan terhadap keupayaan pelaksanaan projek di rantau berkenaan.
CGSI melihat Timur Tengah sebagai antara pasaran yang berpotensi menyokong pertumbuhan WCT, berikutan peluang projek infrastruktur yang lebih terhad di pasaran tempatan ketika ini.
Selain itu, WCT juga belum mempunyai pendedahan kepada projek pusat data, yang kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan sektor pembinaan tempatan.
Sehubungan itu, pengembangan ke pasaran luar negara, khususnya Timur Tengah, dilihat dapat membuka peluang baharu kepada kumpulan untuk mengukuhkan perniagaan pembinaannya.
Buku Tempahan Meningkat Kepada RM3.4 Bilion
Pada masa sama, WCT kini mempunyai nilai tender sebanyak RM14 bilion setakat Ogos 2026, merangkumi RM5 bilion projek kejuruteraan awam dan infrastruktur serta RM9 bilion projek bangunan.
Antara projek yang sedang diburu termasuk jambatan kereta api yang menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar, selain beberapa projek infrastruktur di Timur Tengah.
Kumpulan itu turut mengintai peluang untuk mendapatkan pakej ketiga projek peluasan Lapangan Terbang Pulau Pinang yang melibatkan pembinaan bangunan terminal.
Perkembangan positif itu turut menyaksikan buku tempahan pembinaan WCT meningkat dengan ketara kepada RM3.4 bilion pada Jun 2026 berbanding RM1.6 bilion pada Mac lalu, memberikan kumpulan kedudukan yang lebih kukuh untuk meningkatkan keterlihatan pendapatan pada masa hadapan.
Bagaimanapun, CGSI berkata, cabaran utama WCT kini adalah memastikan pertumbuhan dalam buku tempahan dan kemenangan kontrak baharu dapat diterjemahkan kepada peningkatan keuntungan.
Keuntungan Masih Belum Menepati Jangkaan
Bagi suku kedua tahun kewangan 2026, WCT mencatat keuntungan bersih teras RM10 juta, merosot 36% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu menjadikan keuntungan bersih teras bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 sebanyak RM14 juta, berbanding kerugian bersih teras RM47 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Namun, keputusan tersebut masih berada di bawah jangkaan CGSI dan unjuran pasaran disebabkan kadar cukai efektif yang lebih tinggi serta prestasi perniagaan pembinaan yang lemah.
Perniagaan pembinaan mencatat kerugian sebelum faedah dan cukai sebanyak RM5.3 juta pada suku kedua, manakala persekitaran kos yang lebih tinggi dilihat terus memberi tekanan kepada keuntungan bahagian tersebut.
Perniagaan pembangunan hartanah turut mencatat prestasi lebih lemah apabila hasil merosot 39% kepada RM128 juta, manakala keuntungan sebelum faedah dan cukai susut 37% kepada RM22 juta berikutan bil progresif yang lebih rendah.
Walaupun berdepan keputusan suku tahunan yang kurang memberangsangkan, CGSI mengekalkan saranan “Tambah” (Add) terhadap saham WCT dengan harga sasaran RM1.12 sesaham.
Firma itu berkata, penilaian WCT masih menarik dengan sahamnya didagangkan pada nisbah harga kepada nilai buku yang rendah, selain potensi pemulihan perniagaan pembinaan berikutan pengukuhan buku tempahan.
CGSI berkata pemangkin kepada penilaian semula saham WCT termasuk kemampuan kumpulan mencatat prestasi keuntungan yang lebih baik serta memperoleh lebih banyak kontrak baharu.
Namun, antara risiko yang perlu diberi perhatian ialah kemungkinan prestasi perniagaan pembinaan terus mengecewakan dan jualan hartanah yang lebih rendah daripada jangkaan. - DagangNews.com






