UOB Malaysia tetapkan harga sukuk RM455 juta untuk projek pembangunan Exsim

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2025 • 2:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UOB Malaysia tetapkan harga sukuk RM455 juta untuk projek pembangunan Exsim

image is not available

06/10/2025 - 14:21

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt – UOB Malaysia menetapkan harga sukuk jangka sederhana Islam berjumlah RM455 juta di bawah Tranche 7 Program Sukuk Musharakah EXSIM Capital Resources Berhad (ECRB) bernilai RM2 bilion.

Ia distrukturkan sebagai Sukuk Musharakah SRI Lestari ASEAN dan mencatat minat pelabur yang tinggi, dengan permintaan hampir RM1.2 bilion, menghasilkan nisbah bida kepada perlindungan sebanyak 2.6 kali.

Kadar keuntungan ditetapkan pada 4.80 peratus setahun.

UOB Malaysia bertindak sebagai pengatur dan pengurus utama bersama dengan NewParadigm Securities, menjadikannya terbitan sukuk terbesar setakat ini bagi Kumpulan EXSIM.

Terbitan ini dilaksanakan melalui penempatan persendirian.

Hasil daripada sukuk tersebut akan digunakan untuk membiayai pembangunan projek kediaman hijau EXSIM termasuk The Kingswoodz di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Noordinz Suites di Georgetown, Pulau Pinang.

image is not available
Ketua Negara Perbankan Komersial UOB Malaysia, Beh Wee Khee

Ketua Negara Perbankan Komersial UOB Malaysia, Beh Wee Khee berkata, pencapaian ini menunjukkan keyakinan pasaran terhadap EXSIM serta komitmen syarikat dalam pembangunan mampan.

“Keupayaan menarik minat pelabur yang kukuh membuktikan pasaran menghargai pendekatan pembangunan hijau dan inovatif yang diterapkan EXSIM.

“UOB berbesar hati untuk menyokong EXSIM sepanjang Program Sukuk Musharakah syarikat, sekali gus membantu menggembleng modal untuk projek komersial dan kediaman hijau.

“Dengan menstrukturkan sukuk yang sejajar dengan prinsip ESG di bawah rangka kerja SRI Lestari ASEAN, kami dapat memajukan visi bersama, iaitu pertumbuhan yang bertanggungjawab dan kewangan Islam yang inovatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sukuk itu diterbitkan pada 8 Julai 2025 dan disokong oleh Tranche Kertas Komersial Islam bernilai RM100 juta yang ditaja jamin oleh UOB Malaysia.

Ia melibatkan pembiayaan berperingkat untuk projek kediaman yang dikawal oleh Akta Pembangunan Perumahan.

UOB Malaysia memainkan peranan sebagai penasihat utama untuk semua terbitan di bawah Program Sukuk Musharakah ECRB bernilai RM2 bilion, dengan kerjasama NewParadigm Securities dalam struktur kewangan patuh Syariah.

Sementara itu, Pengarah Urusan EXSIM, Lim Aik Hoe berkata, kejayaan ini menonjolkan kepercayaan pelabur terhadap visi syarikat serta projek-projek yang dilaksanakan.

“Terbitan ini memperkukuh keupayaan kami untuk melaksanakan projek mampan yang memberi nilai lebih tinggi kepada pemegang kepentingan,” katanya.

Ketua Eksekutif Kumpulan NewParadigm Securities, Charanjeev Singh pula memfokuskan kepakaran syarikat dalam menstruktur penyelesaian kewangan patuh Syariah yang memacu pembangunan mampan.

Beliau berkata, kejayaan terbitan ini menunjukkan keyakinan kukuh pasaran modal terhadap keupayaan EXSIM melaksanakan projek berkualiti tinggi.

“Dengan struktur sukuk yang inovatif ini, EXSIM dan UOB Malaysia terus memperkukuh visi pertumbuhan mampan melalui pembiayaan Islam dan pembangunan perumahan hijau di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com

standard