hamden05/11/2026 - 18:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Watta Holding Bhd merancang mempelbagaikan aktiviti perniagaan utamanya dengan menceburi segmen pengedaran elektronik pengguna dan produk berkaitan bagi mewujudkan sumber tambahan hasil serta pendapatan, susulan prestasi perniagaan sedia ada yang terus berdepan tekanan.
Cadangan kepelbagaian itu membabitkan aktiviti penjualan, pemasaran dan pengedaran produk elektronik pengguna termasuk peranti pintar, peranti mudah alih asas serta aksesori berkaitan kepada pelanggan dan saluran pengedaran.
Menurut pengumuman kepada Bursa Malaysia, langkah itu dijangka membolehkan kumpulan memperluas asas hasil dan pendapatannya, selain mewujudkan sinergi operasi dengan perniagaan perkhidmatan sedia ada serta memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang.
Ketika ini, aktiviti utama Watta merangkumi dua segmen perniagaan iaitu perkhidmatan membaik pulih peralatan telekomunikasi dan produk berkaitan serta penyewaan bangunan perindustrian menerusi segmen hartanah pelaburan.
Segmen perkhidmatan dikendalikan menerusi dua anak syarikat milik penuhnya, Mobile Technic Sdn Bhd (MTSB) dan SEMS Services Sdn Bhd (SSSB), yang menawarkan perkhidmatan serta penyelenggaraan peranti telekomunikasi mudah alih.
Kedua-dua anak syarikat itu merupakan rakan kongsi perkhidmatan yang diberi kuasa bagi jenama antarabangsa seperti Samsung, selain bekerjasama dengan pembekal tempatan untuk menyediakan perkhidmatan sokongan bagi produk Samsung, Black Shark dan Laifen.
Hasil merosot
Bagaimanapun, kumpulan berdepan cabaran struktur dalam segmen perkhidmatan susulan peningkatan kualiti dan ketahanan telefon pintar moden yang mengurangkan kekerapan keperluan pembaikan.
Persaingan daripada penyedia perkhidmatan pembaikan bebas dan pusat perkhidmatan pihak ketiga yang menawarkan harga lebih kompetitif serta tempoh penyelesaian lebih pantas turut memberi tekanan kepada perniagaan berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan hasil kumpulan merosot daripada RM8.61 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 kepada RM4.19 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, hasil kumpulan turut menurun kepada RM1.74 juta berbanding RM2.25 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Lembaga Pengarah berpandangan Perniagaan Pengedaran merupakan peluasan semula jadi kepada rantaian nilai perniagaan sedia ada kumpulan, memandangkan Watta boleh memanfaatkan pengetahuan industri, kepakaran teknikal serta hubungan dengan pemilik jenama, pengedar dan pelanggan yang telah dibangunkan menerusi operasi perkhidmatannya.
Selain mengurangkan kebergantungan terhadap aktiviti perniagaan sedia ada, pengembangan itu juga dijangka membolehkan kumpulan mengambil bahagian dalam segmen pasaran elektronik pengguna yang lebih luas.
Prospek pasaran elektronik pengguna
Dari sudut prospek industri, jualan elektronik pengguna di Malaysia dijangka meningkat daripada RM63 bilion pada 2025 kepada RM70 bilion menjelang 2030, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 2.1%.
Lembaga percaya pengembangan ke segmen pengedaran itu akan menyediakan saluran pertumbuhan tambahan serta menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan.
Bagaimanapun, memandangkan Perniagaan Pengedaran berpotensi menyumbang 25% atau lebih daripada keuntungan bersih kumpulan dan/atau menyebabkan pengalihan 25% atau lebih daripada aset bersihnya kepada operasi baharu, Watta perlu mendapatkan kelulusan pemegang saham selaras dengan Perenggan 10.13(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.
Sehubungan itu, syarikat bercadang mendapatkan kelulusan berkenaan menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan.- DagangNews.com





