UPSI sedia bantu Lovely Suzana sambung pelajaran

18 Aug 2026 • 7:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UPSI sedia bantu Lovely Suzana sambung pelajaran

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil tindakan proaktif susulan isu keperluan bantuan membabitkan bakal pelajarnya, Lovely Suzana Augustine yang tular di media sosial.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr Norkhalid Salimin berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapatkan maklumat secara langsung daripada bakal pelajar terbabit bagi memastikan bentuk bantuan yang diperlukan.

“UPSI sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan bakal pelajar dan pelajar, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Dalam kes Lovely, semakan mendapati dia sememangnya bakal pelajar UPSI dan telah mengambil langkah awal bagi memastikan keperluannya memulakan pengajian diberi perhatian sewajarnya,” katanya di sini semalam.

Norkhalid berkata, wanita lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian di UPSI dan dijadual mendaftar 12 September ini.

“Semakan mendapati Lovely berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan perkara itu turut diambil kira dalam pemantauan kebajikan bakal pelajar berkenaan.

“Pada masa ini, Lovely memaklumkan dia telah membuat persediaan untuk mendaftar serta mempunyai RM1,500 bagi tujuan pembayaran yuran berkaitan pendaftaran dan pe­ngajian,” katanya.

Jelasnya, keperluan utama wanita itu yang dikenal pasti ialah komputer riba untuk menyokong pembelajaran dan pe­laksanaan tugasan akademik.

Terdahulu media melaporkan Lovely, anak pasangan berketurunan Kadazan-Siam memerlukan bantuan RM2,232.35 bagi mendaftar pengajian di UPSI.

Beliau adalah anak bongsu daripada empat beradik, manakala bapanya yang juga bekas tentera berketurunan Kadazan meninggal dunia akibat angin ahmar pada 2017.

Ibunya pula bekerja sebagai tukang cuci sekolah dengan pendapatan kira-kira RM800. –UTUSAN

The post UPSI sedia bantu Lovely Suzana sambung pelajaran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved