VentureTECH labur RM28 juta dalam tiga syarikat teknologi bumiputera

Business & Finance
13 Aug 2026 • 2:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: VentureTECH labur RM28 juta dalam tiga syarikat teknologi bumiputera

PETALING JAYA: VentureTECH Sdn. Bhd. (VentureTECH) melabur RM28 juta dalam tiga syarikat teknologi bumiputera berpotensi pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), sekali gus memperkukuh usaha mempercepat inovasi dalam automasi industri, keterangkuman digital dan teknologi penjagaan kesihatan.

Tiga syarikat terbabit ialah Move Robotic Sdn. Bhd. (Move Robotic), Recove Group Sdn. Bhd. (Recove) dan Edote Sdn. Bhd. (Edote).

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Azizan Jaafar berkata, pelaburan berkenaan menyokong syarikat Bumiputera yang membangunkan teknologi inovatif bagi menangani cabaran sebenar industri, selain mempunyai potensi komersial dan keupayaan untuk berkembang secara mampan.

“Peranan kami bukan sekadar menyediakan modal. Kami bekerjasama dengan syarikat pelaburan sepanjang perjalanan pertumbuhan mereka bagi memperkukuh keupayaan, membuka peluang pasaran baharu dan berkembang secara mampan.

“Melalui pelaburan ini, kami bukan sahaja menyokong perniagaan berpotensi, malah menyumbang kepada daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia serta aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” katanya dalam kenyataan.

Move Robotic menyediakan ekosistem automasi gudang dan logistik secara menyeluruh yang menggabungkan robot mudah alih autonomi (AMR), penyelesaian pengendalian bahan autonomi, sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) serta sistem pallet shuttle.

Keseluruhan penyelesaian itu turut disepadukan dengan sistem pengurusan gudang (WMS) dan Robot Fleet Manager (RFM) milik syarikat.

Berbeza dengan pendekatan yang hanya membekalkan peralatan secara berasingan, Move Robotic menggabungkan robotik, automasi penyimpanan dan perisian dalam satu penyelesaian bersepadu.

Melalui model Robot-as-a-Service (RaaS), pelanggan boleh menggunakan teknologi berkenaan menerusi langganan yang merangkumi pelaksanaan penyelesaian sekali gus mengurangkan keperluan pelaburan awal.

Pendekatan itu dijangka menjadikan automasi lebih mudah diakses dan diperluaskan, selain meletakkan Move Robotic pada kedudukan untuk menjadi penyedia pertama Malaysia bagi penyelesaian RaaS secara menyeluruh.

Sementara itu, Recove merupakan platform pengkomersialan teknologi perubatan (Med-Tech) yang memberi tumpuan kepada usaha mengubah hasil penyelidikan berkaitan penjagaan kesihatan kepada teknologi perubatan yang sedia dipasarkan.

Syarikat itu bekerjasama dengan universiti, penyelidik dan pakar perubatan bagi merapatkan jurang antara penyelidikan dengan pengkomersialan.

Recove sebelum ini berjaya mengkomersialkan NEORUBIN®, iaitu peranti saringan penyakit kuning bayi secara tidak invasif, dan kini sedang membangunkan beberapa lagi teknologi perubatan menerusi saluran inovasinya.

Kerjasama dengan VentureTECH akan membantu mempercepat proses pengkomersialan produk supaya lebih banyak teknologi kesihatan yang dibangunkan di Malaysia dapat digunakan di hospital, penyedia perkhidmatan kesihatan dan pesakit.

Edote pula memberi tumpuan kepada teknologi bantuan bagi meningkatkan akses digital dalam kalangan komuniti cacat penglihatan.

Syarikat itu membangunkan eBrelle, komputer riba Braille berdiri sendiri pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang membolehkan pengguna cacat penglihatan mengakses, menghasilkan dan berinteraksi dengan kandungan digital secara lebih bebas.

Teknologi berkenaan menggabungkan perkakasan, perisian dan aplikasi yang memberi tumpuan kepada kebolehcapaian dalam satu platform, sekali gus membantu mengurangkan halangan kepada pendidikan, pekerjaan dan penyertaan digital.

Dengan sokongan VentureTECH, Edote dijangka dapat memperluas keupayaan pengeluaran, memperkukuh portfolio produk serta membawa teknologi bantuan tempatan itu kepada lebih ramai pengguna di Malaysia dan rantau ini. – UTUSAN

The post VentureTECH labur RM28 juta dalam tiga syarikat teknologi bumiputera appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved