[VIDEO] Lagak mat rempit di Melaka Sentral ‘makan diri’ kena saman

6 Sep 2026 • 4:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Lagak mat rempit di Melaka Sentral ‘makan diri’ kena saman

MELAKA – Tindakan ratusan ‘mat rempit’ berkumpul dipercayai bagi kegiatan lumba haram di sekitar Melaka Sentral di sini membawa kepada penahanan dua individu dan pengeluaran 97 saman oleh pasukan polis, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan tersebut pada pukul kira-kira 3.10 pagi.

Katanya, susulan itu Pusat Kawalan Daerah (DCC) Melaka Tengah telah menyalurkan maklumat kepada pegawai bertugas serta mengarahkan elemen polis berhampiran untuk menjalankan kawalan dan pemantauan di lokasi.

“Dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan sekitar pukul 3 pagi, polis telah membuat dua tangkapan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu secara melulu dan membahayakan.

“Kami turut membuat sitaan terhadap lapan buah motosikal sepanjang operasi yang dijalankan di sekitar daerah Melaka Tengah dan sebanyak 97 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, pihaknya turut mengesahkan telah mengesan satu hantaran tular di laman sosial Facebook berkaitan kegiatan berkenaan menerusi video berdurasi 29 saat.

Katanya, klip tersebut jelas menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal memenuhi laluan jalan sehingga mengganggu pergerakan kenderaan lain yang mahu memasuki simpang di kawasan terbabit.

“Dalam tempoh sama, anggota polis turut terlibat dalam kawalan lalu lintas susulan satu kemalangan maut yang berlaku di Lebuh AMJ, Semabok pada pukul 2.30 pagi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan lumba haram, mat rempit atau sebarang kesalahan jalan raya diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui saluran yang disediakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post [VIDEO] Lagak mat rempit di Melaka Sentral ‘makan diri’ kena saman appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved