[VIDEO] Tikam ibu tunggal: Mahkamah arah ejen hartanah jalani penilaian psikiatri

26 May 2026 • 11:41 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Tikam ibu tunggal: Mahkamah arah ejen hartanah jalani penilaian psikiatri
Image from: [VIDEO] Tikam ibu tunggal: Mahkamah arah ejen hartanah jalani penilaian psikiatri
Muhammad Ilhami dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa.
Image from: [VIDEO] Tikam ibu tunggal: Mahkamah arah ejen hartanah jalani penilaian psikiatri
Seorang wanita cedera ditikam di bahagian kanan lehernya oleh seorang lelaki yang dikenali di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah.
Image from: [VIDEO] Tikam ibu tunggal: Mahkamah arah ejen hartanah jalani penilaian psikiatri
Semasa pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan ejen hartanah yang menikam kenalan wanitanya dalam kejadian di Titi Gajah pada 17 Mei dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri.

**media[3533221]**

Hakim N Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh, Muhammad Ilhamni Badaruddin, 32, dirujuk ke hospital berkenaan mengikut Sesyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Permohonan tersebut dibuat oleh peguam tertuduh, Mohd Hakim Hamran.

**media[3533203]**

Terdahulu, semasa pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.

**media[3533214]**

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Ilhami didakwa melakukan cubaan membunuh dengan cara menikam leher Nurul Husna Kasmani, 35, menggunakan pisau di kawasan letak kereta sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas, di sini kira-kira pukul 9.19 malam, 17 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan tersebut dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern.

Pada prosiding itu, Mohd Hakim memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai masalah mental dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Pihaknya memohon satu perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah diberikan untuk tertuduh mendapatkan penilaian dan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

"Ia berdasarkan alasan-alasan seperti berikut iaitu tertuduh sebelum tarikh dalam pertuduhan sedang mendapatkan rawatan psikiatri berkala di HSB bagi merawat masalah mental," katanya.

Mahkamah kemudiannya tidak memberikan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.