![Image from: [VIDEO] Tun M pilih berpanas bersama rakyat sambut merdeka di Putrajaya](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/tun-mahathir-1024x827.jpeg)
PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memilih cara tersendiri untuk menghayati Sambutan Hari Kebangsaan 2026 apabila turun padang bersama rakyat di Dataran Putrajaya, hari ini.
Berbeza dengan kebiasaan tokoh kenamaan yang menyaksikan acara dari lokasi khas, Dr. Mahathir dilihat berada berhampiran orang ramai di tepi kawasan sambutan, malah sanggup berpanas di bawah terik matahari demi merasai sendiri kemeriahan acara tahunan berkenaan.
Kehadiran tokoh berusia 101 tahun itu turut mencuri perhatian pengunjung yang berada di sekeliling kawasan berkenaan, dengan ada yang mengambil peluang melambai, merakam video serta mengabadikan kenangan bersama beliau.
Menerusi video yang tular di media sosial, Dr. Mahathir dilihat duduk di kerusi roda sambil memegang Jalur Gemilang, manakala orang ramai di belakangnya turut melambai dan menunjukkan tanda sokongan.
“Kemunculan seorang tokoh yang tidak dapat dipisahkan daripada sejarah pembangunan Malaysia dan semestinya kemunculan yang dinantikan semua yang sayang padanya.
“Beliau tetap menang di hati rakyat,” kata Anis menerusi kapsyen yang dimuat naik bersama video di TikTok hari ini.
Di ruangan komen, rata-ratanya memuji sisi berbeza Dr. Mahathir yang memilih untuk berada dekat dengan rakyat bagi menyaksikan sendiri sambutan penuh warna-warni sempena Hari Kebangsaan 2026.
“Beliau bukan pemimpin yang sempurna tapi dia buat Malaysia nampak di mata dunia,” puji seorang pengguna.
Pada sambutan terdahulu, kehadiran Dr. Mahathir turut mendapat perhatian apabila beliau beramah mesra dan bergambar dengan orang ramai serta pengunjung sekitar Dataran Putrajaya.
Sementara itu, Dr. Mahathir dalam hantaran di media sosialnya memuat naik ucapan Selamat Menyambut Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan ke-69.
“Selamat Menyambut Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan yang ke 69, Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@sayangtun Kemunculan seorang tokoh yang tidak dapat dipisahkan daripada sejarah pembangunan Malaysia dan semestinya kemunculan yang di nanti2kan semua yang sayang padanya.. Sedih melihat tiada tempat khas buatnya tp beliau tetap menang di hati rakyat! Long live Tun! #tunmahathir #negarawan #worldclassleader #livinglegend #merdeka2026 ♬ suara asli – Nott – ini_nottt
The post [VIDEO] Tun M pilih berpanas bersama rakyat sambut merdeka di Putrajaya appeared first on Kosmo Digital.






