amree07/10/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Vinvest Capital Holdings Berhad berdepan usaha pemulihan selepas kumpulan pegangan pelaburan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia itu mencetuskan kriteria syarikat terjejas di bawah Nota Panduan 3 (GN3) susulan kemerosotan prestasi kewangannya.
Kumpulan tersebut didapati semakin bermasalah apabila mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) RM166.63 juta bagi tempoh kewangan 16 bulan berakhir 30 April 2026 (FPE26), terutama disebabkan peruntukan kemerosotan nilai aset bukan tunai yang berjumlah RM231.38 juta.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, status GN3 dicetuskan di bawah Peraturan 8.03A(2)(b) Syarat-Syarat Penyenaraian Pasaran ACE selepas hasil disatukan kumpulan didapati hanya menjana 5% atau kurang daripada modal saham berdasarkan penyata kewangan yang dinilai.
"Bagi menangani kedudukan itu dan mengelakkan risiko dinyahsenarai, Vinvest melantik TA Securities Holdings Berhad sebagai penaja pada 17 Julai 2026 bagi menasihati Lembaga Pengarah dalam penyediaan pelan pemulihan kepada Bursa Malaysia pada atau sebelum 7 April 2027," katanya.
Dalam usaha membersihkan kedudukan aset kumpulan, peruntukan kemerosotan nilai RM231.38 juta itu merangkumi hapus kira secara ihsan atau 'goodwill' sebanyak RM103.97 juta, akaun belum terima lain (RM120.36 juta) serta kos pembangunan hartanah (RM5.94 juta).
Tambahnya, kemerosotan nilai berkenaan merupakan pelarasan bukan tunai dan tidak memberi kesan langsung terhadap operasi harian kumpulan, sebaliknya bertujuan memastikan kedudukan aset syarikat lebih mencerminkan nilai sebenar bagi menyokong usaha pemulihan.

Pada masa sama ujarnya, Vinvest turut menyusun semula operasinya menerusi Langkah pelupusan tiga anak syarikat yang didapati sebagai berprestasi rendah, iaitu Vivocom Enterprise Sdn Bhd, Rain International Sdn Bhd dan Vcom Construction Sdn Bhd.
"Tindakan tersebut menghasilkan keuntungan bersih atas pelupusan sebanyak RM138.57 juta, sekali gus dapat membantu kumpulan ini dalam mengurangkan tekanan terhadap kerugian yang perlu ditanggung oleh syarikat sepanjang tempoh 16 bulan berkenaan," jelasnya.
Bagi FPE26, kumpulan merekodkan pendapatan berjumlah RM40.07 juta, dengan segmen pembinaan menjadi penyumbang yang paling besar mencecah sebanyak RM20.26 juta, diikuti pembangunan hartanah iaitu kira-kira RM14.66 juta.
Segmen hartanah pula disokong Perjanjian Pembangunan Bersama (JVDA) menerusi anak syarikatnya, V Development Sdn Bhd, bagi projek pembangunan bercampur di Gombak, Selangor, selain beberapa projek pembinaan yang sedang dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur.
Lembaga Pengarah Vinvest kekal optimis terhadap prospek projek-projek semasa menjana prestasi kumpulan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, walaupun berdepan cabaran termasuk peningkatan kos bahan binaan dan kelembapan kuasa beli. - DagangNews.com






