VSL: UPM terlalu unggul dominasi saingan

4 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: VSL: UPM terlalu unggul dominasi saingan

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) mempamerkan dominasi pada Grand Final Liga Sepak Takraw Varsiti (VSL) apabila menjuarai acara beregu, regu premier dan kuadran di pentas final, semalam.

Rentak cemerlang UPM bermula dalam acara beregu apabila terpaksa mengharungi pertarungan tiga set sebelum menundukkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 15-8, 10-15, 15-10 untuk meraih kejuaraan pertama.

Momentum tersebut diteruskan dalam acara kuadran dengan UPM menampilkan aksi lebih meyakinkan untuk menewaskan Politeknik Malaysia 15-10, 15-12 pada perlawanan akhir di Akademi Sepaktakraw Malaysia.

Seterusnya dalam acara regu premier, UPM menempah pertemuan sesama sendiri apabila UPM B menewaskan UPM A, 15-12, 15-7 sekali gus memastikan kejuaraan ketiga buat universiti berkenaan dalam Grand Final VSL kali ini.

Jurulatih UPM, Ahmad Sufi Mohammed Hashim berkata, kejayaan anak buahnya banyak didorong keserasian pemain yang berjaya menterjemahkan persefahaman dibina ketika latihan kepada aksi sebenar di gelanggang.

“Alhamdulillah, mereka dapat mempamerkan prestasi yang baik. Kombinasi antara pemain menjadi kerana masing-masing memberikan kerjasama dan dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab sendiri di dalam gelanggang dengan baik,” katanya.

Menurut Ahmad Sufi, aspek kombinasi dan kerjasama menjadi antara fokus utama sepanjang persiapan sehingga membolehkan pemain memahami peranan masing-masing serta membentuk unit lebih mantap ketika berdepan tekanan pertandingan.

“Sejak latihan lagi mereka sudah menunjukkan kombinasi antara satu sama lain. Paling penting ialah kerjasama dalam pasukan kerana itulah yang memberikan satu kekuatan kepada regu,” jelasnya.

Mengulas kemenangan ke atas Politeknik, Ahmad Sufi tidak menafikan ketiadaan perejam utama pasukan itu, Muhammad Azim Azizul memberi sedikit kelebihan kepada UPM.

“Azim tidak ada, kami ambil kesempatan daripada situasi itu kerana pada pandangan saya, dia adalah salah satu kekuatan Politeknik. Jadi, kami memanfaatkan peluang tersebut untuk mendapatkan kemenangan pada final,” katanya.

The post VSL: UPM terlalu unggul dominasi saingan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved