
SHAH ALAM, 24 OGOS: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila didakwa dicabul lelaki warga asing ketika menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) di Setiawangsa pada 19 Ogos lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun dipercayai didekati suspek ketika berada dalam tren dari Stesen Wangsa Maju menuju ke Stesen Pasar Seni.
Suspek didakwa menggeselkan badannya ke belakang mangsa ketika tren melalui Stesen LRT Setiawangsa.
Wanita berkenaan dipercayai beberapa kali cuba menolak lelaki terbabit, namun tindakannya tidak diendahkan.
Mangsa kemudian segera beralih ke tempat lain sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata susulan laporan itu, suspek ditahan Polis Bantuan Prasarana di Stesen LRT Pasar Seni pada jam 11.30 pagi Jumaat lalu.
“Suspek yang juga warga Bangladesh diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut Khairul Anuar, lelaki terbabit direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.






