
AMPANG JAYA – Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan selepas dipercayai mencabul seorang wanita tempatan di dalam tren LRT ketika dalam perjalanan dari Stesen Wangsa Maju menuju ke Stesen Pasar Seni, di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika mangsa berada di dalam tren melalui Stesen LRT Setiawangsa.
“Pengadu menyedari terdapat seorang lelaki warga Bangladesh telah mencabulnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek berjaya ditahan Polis Bantuan Prasarana di Stesen LRT Pasar Seni kira-kira pukul 11.30 pagi, 21 Ogos lalu.
Suspek kemudian diserahkan kepada anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.
“Permohonan reman telah dibenarkan selama empat hari bermula Sabtu sehingga 25 Ogos 2026,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Bangladesh ditahan cabul wanita dalam tren LRT appeared first on Kosmo Digital.






