
Seorang wanita Malaysia berusia 33 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lapan kilogram (kg) ganja bernilai HK$1.6 juta (RM830,000) ke negara berkenaan.
Kastam Hong Kong berkata, wanita itu tiba dari Bangkok sebelum ditahan ketika pemeriksaan kastam di lapangan terbang berkenaan kelmarin.

“Ketika pemeriksaan, pegawai kastam menemukan kira-kira lapan kilogram disyaki ganja di dalam bagasi daftar masuknya.
“Wanita itu kemudian ditahan dan siasatan kes masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kastam Hong Kong, pihaknya akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan terhadap aktiviti pengedaran dadah menerusi analisis risikan.
Katanya, orang ramai turut diingatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah semata-mata untuk mendapatkan habuan wang atau menerima tawaran pihak lain membawa barangan terkawal keluar atau masuk ke Hong Kong.
Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, individu yang disabitkan kesalahan mengedar dadah berbahaya boleh dikenakan denda maksimum HK$5 juta (RM2.60 juta) dan hukuman penjara seumur hidup.
Kes terbaru itu juga menambah rekod beberapa tangkapan membabitkan rakyat Malaysia di Hong Kong dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada 30 Julai lalu, seorang lelaki Malaysia berusia 27 tahun ditahan selepas kira-kira 3kg ganja bernilai HK$600,000 (RM311,000) ditemukan dalam bagasi daftar masuknya selepas tiba dari Bangkok.
Sebelum itu, pada 16 Julai, seorang lelaki Malaysia berusia 19 tahun yang tiba dari Bangkok melalui Manila turut ditahan selepas kira-kira 11kg ganja bernilai HK$2 juta (RM1.04 juta) ditemukan dalam bagasi daftar masuknya.
Baca juga:Pada 9 Julai pula, seorang lelaki Malaysia berusia 19 tahun ditahan selepas tiba dari Kuala Lumpur melalui Singapura dengan kira-kira 3kg ganja bernilai HK$500,000 (RM260,000) ditemukan dalam bagasinya.






