Wanita rugi hampir RM130,000 diperdaya tawaran kerja sambilan

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 2:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wanita rugi hampir RM130,000 diperdaya tawaran kerja sambilan
Polis menerima laporan mengenai seorang wanita rugi RM130,000 diperdaya sindiket penipuan kerja sambilan. Gambar kecil:Mohamad Nazri.

KAMPAR - Seorang wanita mengalami kerugian RM130,000 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran kerja sambilan berkaitan tempahan hotel secara dalam talian.

Mangsa berusia 34 tahun itu membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank yang diberikan suspek selepas dijanjikan pulangan modal bersama komisen antara 10 hingga 20 peratus.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Isnin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berada di rumah telah melihat iklan tawaran kerja sambilan berkaitan tempahan hotel melalui media sosial.

"Mangsa yang berminat telah meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi sebelum menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan itu.

"Wanita itu kemudiannya diberikan satu pautan dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang kononnya menjalankan urusan tempahan hotel secara dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Nazri berkata, mangsa diarahkan membuat bayaran bagi setiap tempahan hotel ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek.

Katanya, mangsa dijanjikan wang modal akan dipulangkan bersama komisen antara 10 hingga 20 peratus, selain kadar komisen yang dikatakan meningkat mengikut jumlah transaksi.

"Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak diterima selepas semua pembayaran dibuat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohamad Nazri menasihatkan orang ramai tidak mudah mempercayai tawaran pekerjaan melalui media sosial dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Orang ramai juga boleh menyemak nombor akaun bank atau nombor telefon yang mencurigakan melalui portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sekiranya menjadi mangsa penipuan kewangan, orang ramai diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved