
PETALING JAYA – Prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Jakarta susulan gangguan penerbangan akibat abu gunung berapi, seorang wanita Indonesia yang menetap di negara ini tampil menawarkan kediamannya sebagai tempat persinggahan sementara secara percuma.
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Maira Safira berkata, kediamannya yang terletak kira-kira 30 minit dari lapangan terbang di Jakarta ketika ini mempunyai ruang untuk menempatkan beberapa individu yang memerlukan tempat berehat sementara menunggu keadaan kembali pulih.
Katanya, pada awalnya kediaman itu hanya dihuni bersama seorang pembantu peribadi (PA), namun kini sudah menerima tujuh orang yang memerlukan tempat berteduh.
“Kalau ada yang perlukan tempat untuk tumpang sementara, boleh hubungi saya. Rumah saya sekarang cuma ada seorang PA, jadi masih ada ruang untuk beberapa orang.
“Saya cuma rasa kasihan, takut kita panik dan kalut di negara orang, lebih-lebih lagi kalau persiapan atau bekalan dah habis.
“Tak perlu segan, kalau perlukan tempat untuk berehat sementara menunggu keadaan kembali okey, insya-Allah saya cuba bantu,” katanya menerusi perkongsian di Thread.
Dalam kemas kini terbaharu, wanita itu memaklumkan masih terdapat dua bilik yang boleh dikongsi bersama.
Bagaimanapun, buat masa ini, ruang berkenaan dikhususkan untuk wanita berikutan semua individu yang sudah menumpang di kediamannya adalah perempuan.
“Buat masa ini, bilik tersebut sesuai untuk perempuan sahaja sebab yang datang semuanya perempuan, jadi boleh berkongsi katil.
“Dan jangan risau ya, saya memang niat nak membantu saja. Penginapan ini percuma, saya tak minta bayaran apa-apa pun,” katanya.
Terdahulu, terdapat ramai rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, apabila sektor penerbangan negara itu terjejas berikutan Gunung Anak Krakatau meletus. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita tawar penginapan buat rakyat Malaysia terkandas appeared first on Kosmo Digital.





