
SEPANG - Seorang wanita dipercayai warga asing dilaporkan mencetuskan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1), semalam, selepas menjerit dan membuat tuntutan supaya Malaysia, Singapura serta Jepun “menyerah”.
Menerusi rakaman video dikongsikan di Reddit, wanita berkenaan dilihat berkaki ayam sambil menjerit berulang kali terhadap penumpang dan orang awam yang berada di kawasan terbabit.
Menurut pengguna Reddit yang memuat naik rakaman berkenaan, wanita itu dipercayai sedang melakukan siaran langsung di TikTok sebelum telefonnya diambil oleh seorang lelaki yang dipercayai kenalannya.
Lelaki berkenaan kemudian cuba membawa wanita tersebut beredar dari lokasi berkenaan, namun tindakan itu tidak menghentikan jeritannya.
Malah, wanita terbabit dilaporkan mendakwa bahawa “semua orang akan mati bersama” sekiranya dia meninggal dunia di Malaysia.
Dia turut beberapa kali bertanyakan sama ada Singapura dan Jepun akan “menyerah”, selain dilihat berdepan dengan orang ramai yang berada di sekelilingnya.
Rakaman berdurasi kira-kira 22 saat itu turut memaparkan wanita berkenaan mengangkat tangannya sambil menyoal beberapa penumpang yang berada berhampiran.
Menurut dakwaan yang disertakan bersama rakaman tersebut, kekecohan berkenaan berlangsung kira-kira 15 minit sebelum wanita itu akhirnya dibawa pergi oleh petugas lapangan terbang.
Bagaimanapun, identiti wanita berkenaan serta punca sebenar tindakannya masih belum disahkan secara rasmi.
Rakaman kejadian itu kemudian tular di media sosial dan boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/share/r/1BjyQ5u5ry/?mibextid=wwXIfr, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. - Getaran, 19 Ogos 2026






