SEPANG - Seorang wanita warga China yang berkelakuan agresif dengan menjerit di Balai Perlepasan Antarabangsa Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Selasa disyaki kurang siuman.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian berlaku pada jam 1.19 petang ketika menunggu untuk menaiki penerbangan pulang ke China.
Menurutnya, wanita berusia 27 tahun itu bertindak menjerit dengan nada tinggi, berlari, menyanyi dan menari hingga mengganggu penumpang lain di sekitar.
"Pihak kawalan keselamatan terminal yang hadir ke tempat kejadian bagi menenangkan keadaan telah membawa wanita itu ke Balai Polis Terminal 1 untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati wanita terbabit dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke China pada 18 Ogos (Selasa) setelah tiba di negara ini sebagai pelancong bersama temannya pada 6 Ogos lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Kajang dan ditempatkan di Wad Psikiatrik untuk rawatan lanjut.
Katanya, pihak kedutaan juga telah dimaklumkan berkaitan dengan kejadian ini.
"Wanita terbabit disyaki kurang siuman dan bukan penagih dadah. Dia berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital
"Menurut temannya, wanita itu dikatakan terlupa makan ubat yang disediakan oleh doktor," ujarnya.
Tambahnya, orang ramai diminta tidak melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan berlakunya kegusaran di tempat awam khususnya semasa berada di Terminal KLIA 1 dan KLIA 2.
Kejadian terbabit sebelum itu tular di aplikasi X menerusi rakaman video berdurasi 22 saat.






